Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan salah satu program pembangunan kapasiti manusia bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu bagi melahirkan rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya bagi mencapai taraf kehidupan yang berkualiti tinggi.

Biasiswa yang berprestij ini dianugerahkan secara peribadi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kegiatan luar sekolah bagi melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang di institusi-institusi pengajian tinggi yang berprestij di luar negara. Selain itu mereka juga perlu lulus dalam beberapa sesi ujian dan temuduga yang intensif. Mereka ini dihasratkan untuk menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk pemimpin yang cemerlang bagi menyumbang kepada pembangunan ummah dan kemajuan sosioekonomi bangsa dan negara.

Awang Vance Tan Zong Hao merupakan salah seorang penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang kini masih meneruskan pengajian peringkat ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang Ilmu Alam dan Alam Sekitar di School of Geography, St. Peter’s College, University of Oxford. Awang Vance sedang menyediakan kertas kerja yang memberi penerangan mengenai bagaimana risiko banjir di masa depan dapat dikendalikan secara optimum dengan menyusun perubahan dasar dan tindakan antisipasi pada skala nasional. Beliau dibimbing oleh wakil presiden terpilih Institusi Jurutera Awam, Profesor Jim W Hall FREng, yang terkenal di peringkat antarabangsa kerana penyelidikannya mengenai analisis risiko untuk infrastruktur dan sistem air.

Awang Vance merupakan pelajar yang sangat pintar dan aktif. Beliau telah dilantik sebagai Pengarah Analitik, Teknologi dan Algoritma yang pertama dalam Kelab Ragbi Universiti Oxford (OURFC) dan juga berkhidmat sebagai ketua pengarang untuk jurnal penyelidikan di kolejnya.

Baru-baru ini Awang Vance telah menerima anugerah berprestij iaitu Impact Award daripada Persatuan Pelajar Universiti Oxford (Oxford SU) atas komitmen beliau kepada komuniti Universiti Oxford, kolejnya St Edmund Hall dan Kelab Ragbi Universiti Oxford (OURFC). Impact Award dianugerahkan setiap tahun kepada individu yang telah membuat perubahan bermakna kepada bidang sukan, kelab atau masyarakat.