Abdul Qayyum Haikal Enterprise

Nombor: 8191 056

Facebook: Mumy Qyum Kitchen

Instagram: Dkmimie176

Ke arah mencapai salah satu matlamat strategik iaitu Mendukung Pencapaian Taraf Sara Diri, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah turut menyokong inisiatif kerajaan dalam meningkatkan tahap sara diri golongan yang memerlukan bantuan melalui Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK). Menerusi SPK, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan bantuan khusus bagi golongan sasar yang memerlukan, iaitu pemberian bantuan modal bagi menjalankan perusahaan berserta beberapa program dan kursus kemahiran yang bersesuaian. 

Pengiran Sarayahati binti Pengiran Matusof, salah seorang penerima bantuan modal keusahawanan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan melahirkan rasa syukur dan bertuah kerana telah terpilih mengikuti program keusahawan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sejak tahun 2018.

Pengiran Sarayahati binti Pengiran Matusof, seorang ibu kepada anak lelaki yang berkeperluan khas, mula menceburi diri dalam perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah beliau di Perumahan Kampong Panchor, Mengkubau. Setelah mendirikan rumah tangga, Pengiran Sarayahati berhasrat untuk menambah pendapatan keluarga, beliau melepaskan pekerjaan tetap dengan memberi tumpuan kepada perniagaan dalam bidang masakan dan pembuatan kek. Pengalaman beliau berniaga secara kecil-kecilan sudah diperoleh sejak zaman remaja lagi di mana beliau sering menemani ibu bapanya menjual makanan di gerai-gerai.

Melalui SPK, Pengiran Sarayahati menerima bantuan modal berbentuk keperluan barangan dan peralatan yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan beliau, seperti bahan mentah dan mesin pembuatan makanan. SPK juga memberikan peluang kepada Pengiran Sarayahati mengikuti beberapa bengkel keusahawanan bagi mengendalikan perniagaan dengan teratur. Di samping itu, bagi meningkatkan kemahiran dan teknik pembuatan kek, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga telah membiayai beliau menyertai kelas khusus bagi membuat kek. Sebagai pengusaha di bawah SPK, Pengiran Sarayahati juga berpeluang menyertai aktiviti dan ekspo jualan yang dianjurkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi mempromosikan barangan yang dihasilkan kepada orang ramai. 

Jika diberikan peluang, Pengiran Sarayahati berhasrat untuk memantapkan lagi kemahiran dalam bidang pembuatan kek dan kemahiran dalam bidang masakan. Pengiran Sarayahati meluahkan hasrat untuk membuka sebuah cawangan atau gerai untuk menjual produk makanan hasil tangan beliau dan mengongsikan ilmu yang dipelajari bersama orang lain.