Spicecries
Nombor: 880 9890

Ke arah mencapai salah satu matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Mendukung Pencapaian Taraf Sara Diri, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah turut menyokong inisiatif kerajaan dalam meningkatkan tahap sara diri golongan yang memerlukan bantuan melalui Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK). Menjadi harapan sebuah negara memiliki rakyat yang rajin dan rela ‘bakarih’ dan ‘bajarih’ tanpa berputus asa sehingga ‘balurih’ menjana perekonomian diri, keluarga dan juga negara.

Menerusi SPK, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan bantuan khusus bagi golongan sasar yang memerlukan, iaitu pemberian bantuan modal bagi menjalankan perusahaan berserta beberapa program dan kursus kemahiran yang bersesuaian. Bentuk bantuan modal yang diberikan adalah mengikut kriteria dan kesesuaian pemohon seperti kewangan, bahan, latihan serta pemantauan. Hal ini bagi memastikan para usahawan di bawah SPK dapat menjalankan perusahaan dan perniagaan mereka dengan lebih teratur dan sempurna. 

Bak kata pepatah Melayu ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, itulah pegangan yang sentiasa tersemat dalam hati salah seorang penerima bantuan SPK, Awang Mohamad Jasni bin Haji Imran dalam mengusahakan bidang pertanian berasaskan tanaman sayur-sayuran. Beliau mula giat mengusahakan bidang tanaman sebagai sumber pendapatan keluarga sejak 10 tahun yang lalu di tapak tanah persendirian di kawasan Kampung Junjungan. Bidang bercucuk tanam bukanlah sesuatu perkara yang baharu bagi Awang Mohamad Jasni bahkan sejak usia muda lagi beliau telah membantu bapanya mengusahakan bidang ini. 

Semangat juang pengusaha ini mula berkobar setelah terpilih menerima bantuan SPK pada pertengahan tahun 2019. “Alhamdulillah, dengan adanya bantuan SPK seperti mesin pemotong rumput dan pengepam air serta juga keperluan baja-baja tanaman telah banyak membantu meningkatkan hasil pengeluaran tanaman saya. Keprihatinan Yayasan yang telah bukan sahaja memberikan bantuan modal tetapi bimbingan dan pemantauan telah mencetuskan perubahan dan perkembangan sekali gus mendidik saya untuk lebih berdikari”. 

Semangat juang Awang Mohamad Jasni semakin kental setelah terpilih menyertai program pertanian melalui Jabatan Pertanian dengan penyediaan tapak tanah seluas dua hektar di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Lampaki, Kampung Mulaut yang beliau usahakan sehingga sekarang. Pada masa ini, Awang Mohamad Jasni yang berusia 45 tahun sedang giat mengusahakan tanaman dan jualan beberapa jenis sayur-sayuran antaranya kacang panjang, kacang bendi dan lada bara di bawah syarikat milik beliau iaitu syarikat Spicecries Agrofarm. Hasil jualan daripada tanaman beliau juga sangat menggalakkan dan dapat menampung perbelanjaan keluarga. 

Salah satu pencapaian Awang Mohamad Jasni ialah apabila menjadi penerima tempat kedua bagi Anugerah Perniagaan Shell LiveWIRE Brunei ke-13 dalam Kategori 1 pada penghujung tahun 2020. 

Perancangan masa depan dan harapan, Awang Mohamad Jasni berhasrat untuk meningkatkan hasil keluaran tanaman dari semasa ke semasa dan dapat mengambil pekerja tempatan dalam sama-sama membantu beliau mengungkayahkan perusahaan. Awang Mohamad Jasni juga menyimpan impian untuk membuka kiosk bagi menempatkan jualan hasil pertanian berkonsepkan ‘Eco-Friendly’ suatu hari nanti.