Perusahaan Nur Al-Hadi Isteri dan Anak
Nombor: 895 0585

Program Ristaan Abadi dikendalikan di bawah Jawatankuasa Perusahaan Sosial Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertujuan meningkatkan sara diri penduduk Kampong Bolkiah dengan memberi peluang dan platform pembelajaran untuk memperoleh kemahiran, dan membimbing masyarakat untuk menjadi lebih berdaya maju dan berwirausaha dengan menjalankan perusahaan mereka sendiri atau mengembangkan perusahaan yang sedia ada ke arah pembangunan sosioekonomi lestari.

Dayang Nursabrina Adliah binti Haji Abdul Rahman, salah seorang penduduk Kampong Bolkiah yang telah mendapat sokongan padu daripada inisatif Ristaan Abadi. Demi menyara kehidupan harian insan-insan tersayang, Dayang Nursabrina Adliah mencari sumber pendapatan menerusi penjualan pelbagai jenis sayur- sayuran di hadapan kediamannya di Kampong Bolkiah ‘A’, Sungai Kebun, Daerah Brunei dan Muara, selepas suaminya, Awang Mohamad Hardi bin Hassan @ Jamaludin mengalami masalah kesihatan sekitar bulan Mei tahun lepas sehingga tidak dapat meneruskan pekerjaan sehingga ke saat ini.

Tidak dinafikan pelbagai kerja telah dilakukan Dayang Nursabrina sebelum ini, namun satu per satu pekerjaan tersebut terpaksa dilepaskan disebabkan beliau mempunyai komitmen yang lebih penting untuk dilaksanakan, iaitu tanggungjawab menjaga suami dan juga kedua ibu bapa mertuanya yang kurang sihat, di samping anak lelaki tunggal mereka.

Sebagai suri rumah tangga, Dayang Nursabrina Adliah amat terkesan dengan kehilangan sumber pencarian suami, sehingga dibelenggu bebanan dari segi kewangan bagi memenuhi keperluan harian keluarga. Ketika itu, apa yang terdetik dalam fikiran adalah membuka gerai sayur-sayuran di hadapan rumah sahaja. Seorang hamba Allah telah bermurah hati menghulurkan bantuan berupa modal kewangan dan beberapa keperluan barangan kepada mereka untuk memulakan perniagaan di gerai tersebut. Pada 14 Oktober lalu, Dayang Nursabrina mula menjalankan penjualan sayur mereka secara rasmi di bawah Perusahaan Nur Al-Hadi Isteri dan Anak dengan bantuan daripada suami dari segi buah fikiran dan kudrat tenaga suami seadanya. 

Menerusi penjualan sayur-sayuran ini, beliau bersama suami juga menawarkan perkhidmatan sampingan bagi menjual produk orang lain di gerai mereka dengan mengambil keuntungan 20 sen bagi setiap jualan yang berharga BND1. Di samping itu, mereka juga mengetengahkan khidmat penghantaran ke rumah-rumah bagi para pelanggan dengan dibantu oleh anak beliau dan mengenakan caj sebanyak BND1 bagi setiap penghantaran.

Dayang Nursabrina beruntung menjadi ahli Kelab Wanita Bolkiah yang diasaskan oleh Projek Big BWN di bawah inisiatif perusahaan sosial Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui Program ‘Ristaan Abadi’. Program tersebut dijadikan sebagai platform bagi menggalakkan dirinya serta para penduduk kampung yang lain untuk membangunkan, meningkatkan serta memperkasa lagi keupayaan sosioekonomi mereka melalui pelbagai kaedah termasuk latihan keusahawanan. 

Dayang Nursabrina bersyukur atas sokongan pelanggannya yang kebanyakannya terdiri daripada para penduduk kampung yang menetap berdekatan khususnya di Kampong Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’ serta juga dari Kampong Setia. Bak kata pepatah Melayu ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, itulah pegangan Dayang Nursabrina menempuhi liku-liku perjalanan kehidupan sekeluarga yang penuh gigih.