8f Boutique
Nombor: 860 0505
Instagram: 8fBoutique

Ke arah mencapai salah satu matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Mendukung Pencapaian Taraf Sara Diri, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah turut menyokong inisiatif kerajaan dalam meningkatkan tahap sara diri golongan yang memerlukan bantuan melalui Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK). Menerusi SPK, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan bantuan khusus bagi golongan sasar yang memerlukan, iaitu pemberian bantuan modal bagi menjalankan perusahaan berserta beberapa program dan kursus kemahiran yang bersesuaian.

Tak kenal maka tak cinta, begitulah ketulusan minat insan ini dalam menjiwai dunia perniagaannya yang dijalankan secara kecil-kecilan. Dengan berbekalkan prinsip ‘berkarih, berjarih, belurih’, Dayang Nurafhny binti Abd Rahman, 40, salah seorang peserta di bawah Program Usahawan Berkarih di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah optimis meniti warna-warni arus perniagaan tanah air ini.

“Pasang surut berniaga itu memang lumrah, namun segalanya kerana minat, saya yakin rezeki Allah SWT itu ada di mana-mana selagi kita sentiasa berusaha tanpa berputus asa,” luahan tulus ibu kepada empat orang anak ini dalam merasai detik-detik keindahan menjalankan perniagaannya.

Dayang Nurafhny mula belajar menerokai bidang perniagaan sejak tahun 2016. Pada ketika itu Dayang Nurafhny membeli barangan seperti beg dan koleksi tudung dari luar negara iaitu Malaysia untuk dijual semula di negara ini. Perniagaan ini diusahakan secara sambilan bagi membantu suami yang juga merupakan pengusaha kecil untuk menambah pendapatan keluarga. Minat untuk melibatkan diri dalam perniagaan pakaian dan aksesori wanita ini semakin berkembang apabila jualan beliau sering mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Bagi mengukuhkan portfolio perniagaan dan meluaskan rangkaian pemasaran barang jualan, Dayang Nurafhny juga sering mengikuti ekspo-ekspo jualan.

Pada tahun 2020, Dayang Nurafhny telah menerima bantuan modal keusahawanan melalui Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk mengembangkan perniagaan beliau. Bantuan tersebut merupakan langkah pertama beliau dalam meniti bidang penjualan busana Muslimah secara sepenuh masa. Dayang Nurafhny menjalankan perniagaan menerusi dalam talian di bawah nama 8f Boutique.

“Semangat untuk menerokai bidang keusahawanan bagaikan semakin ‘berbunga-bunga’, lebih-lebih lagi ketika menerima sokongan dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui program Usahawan Berkarih di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK) pada tahun lepas. Jujur sebelum ini saya hanya berniaga tanpa ilmu asas yang sebenar. Namun setelah menerima sokongan dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, banyak perubahan positif dapat dirasai,” jelas Dayang Nurafhny dengan penuh kesyukuran.

Beliau turut menambah dengan mengikuti beberapa kegiatan yang dianjurkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di bawah program tersebut terutamanya beberapa bengkel atau kursus keusahawanan dengan kerjasama LiveWIRE Brunei telah mendidik beliau untuk lebih menyelami ilmu pengetahuan asas dalam dunia keusahawanan lebih teratur merangkumi aspek pengurusan kewangan, pemasaran dan sebagainya.

Kini, beliau bukan hanya setakat menampilkan barangan busana Muslimah, tetapi jua variasi aksesori wanita seperti beg, jam tangan, kasut dan produk kosmetik. Beliau juga telah memiliki mini showroom di kawasan kediamannya yang terletak di Perumahan Kampong Tanah Jambu. 

Suatu hari nanti, Dayang Nurafhny berhasrat untuk membuka butik di bawah nama 8f Boutique.