Erra DD Enterprise
Nombor: 897 1794
Facebook: Erradania.Collections
Instagram: Erradania.Collections

Ke arah mencapai salah satu matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Mendukung Pencapaian Taraf Sara Diri, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK) melaksanakan pelaburan sosial memastikan keluarga yang memerlukan bantuan memiliki kemahiran dan pengetahuan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan.

Tanyalah kepada mana-mana wanita mengenai fesyen, hampir semua menunjukkan minat untuk tampil cantik bergaya mengikut cita rasa masing-masing. Begitulah juga bagi Dayang Siti Noor Azriyah binti Sallehuddin, 26, ibu tunggal kepada dua orang anak. Bermula daripada minat semasa zaman remaja lagi membeli koleksi pakaian fesyen terkini, kini minat tersebut menjadi mata pencarian Dayang Siti Noor Azriyah bagi menyara keluarga kecil beliau.

Dayang Siti Noor Azriyah mula melangkah menceburkan diri dalam perniagaan pakaian secara kecil-kecilan pada tahun 2016. Memandangkan modal yang terhad, Dayang Siti Noor Azriyah memfokuskan pada penjualan pakaian aneka fesyen melalui dalam talian dengan berkonsepkan tempahan awal ‘preorder’. “Inilah mata pencarian saya dan saya percaya rezeki itu ada di mana-mana meski pun lumrah berjual beli berhadapan dengan situasi pasang surut. Lebih menyeronokkan lagi, saya menyukai pelbagai aneka pakaian fesyen mengikut trend keluaran negara luar yang mudah didapatkan secara dalam talian”, jelas Dayang Siti Noor Azriyah. 

Pada tahun 2019, Dayang Siti Noor Azriyah telah menerima bantuan modal keusahawanan melalui Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk mengembangkan perniagaan beliau yang didaftarkan dengan nama Syarikat Erra Dd Enterprise. Bantuan tersebut telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatan prestasi dan strategi jualan. Tambahan lagi beberapa kegiatan yang dianjurkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di bawah program SPK seperti bengkel dan kursus keusahawanan telah membantu meningkatkan keyakinan beliau mengembangkan perniagaan dengan lebih teratur terutamanya dari segi pengurusan kewangan, pemasaran dan sebagainya. Kini Dayang Siti Noor Azriyah juga mampu mengumpul stok pakaian untuk dijual semasa mengikuti ekspo-ekspo jualan bagi meluaskan pasaran pakaian beliau. “Alhamdullilah, kini syarikat saya mula dikenali dan sambutan dari orang ramai yang membuat tempahan produk pakaian secara dalam talian semakin memberangsangkan dari hari, ke hari” ujarnya dengan nada kesyukuran.

Walaupun terlalu banyak persaingan dalam dunia perniagaan, namun Dayang Siti Noor Azriyah tetap yakin dan percaya rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitik beratkan kualiti produk dan perkhidmatan yang terbaik, apa jua yang diusahakan akan membuahkan hasil yang diharapkan. 

Dalam mengusahakan perniagaan pada ketika ini, Dayang Siti Noor Azriyah memiliki perancangan masa hadapan untuk mempelajari seni jahitan khususnya dalam menghasilkan pakaian wanita dengan rekaan gaya dan keistimewaan tersendiri. “Alangkah indahnya kalau kecintaan memiliki pakaian fesyen terkini ini saya kongsi bersama para pelanggan dengan menghasilkan rekaan yang mereka idamkan,” luahan ikhlas Dayang Siti Noor Azriyah.