Pada 27 Jamadilakhir 1440 bersamaan 4 Mac 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Penyempurnaan Pengurniaan Mesin Braille Sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Dewan Serambi Suluh, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan, Subok, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis ini.

Aturcara Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quraan yang dibacakan oleh Awang Haji Mohd Khairulzaman bin Haji Mohd Saleh, pelajar sensori penglihatan dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan pengurniaan mesin braille iaitu Perkins Brailler kepada seramai 42 orang pelajar sensori penglihatan.

Para penerima adalah terdiri daripada 20 orang pelajar sensori penglihatan dari sekolah rendah dan sekolah menengah dari Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan dan 22 orang pelajar sensori penglihatan dari sekolah ugama dan institusi pengajian ugama dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Para pelajar ini mempunyai kebolehan mengenal dan menggunakan kod braille dan berkebolehan menggunakan mesin braille. Mereka dikenalpasti oleh pihak sekolah masing-masing memerlukan penggunaan mesin braille sebagai alat bantu dalam pembelajaran mereka sama ada di sekolah mahupun di rumah.

Pemberian sumbangan mesin braille ini adalah merupakan salah satu inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam menangani kebajikan dan kesejahteraan golongan orang-orang kelainan upaya iaitu para pelajar sensori penglihatan bagi mempertingkatkan keupayaan dan potensi mereka dalam pelajaran serta memberikan peluang saksama untuk mereka menjalani kehidupan sama seperti anggota masyarakat yang lain.

Bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik seterusnya berkenan menyaksikan pameran mengenai inisiatif pihak Kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam membantu golongan sensori penglihatan dan peralatan-peralatan bantu bagi kegunaan pelajar sensori penglihatan yang disertai oleh Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan; Bahagian Pendidikan Khas, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Brunei Darussalam National Association of the Blind (BDNAB).

Hadir di Majlis ini ialah Ahli-ahli Jemaah Tadbir serta Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pegawai-pegawai kanan Kerajaan dan ahli-ahli badan bukan kerajaan yang terlibat, serta para ibu-bapa dan penjaga penerima.