Pada 8 Rabiulawal 1445 bersamaan 24 September 2023, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengendalikan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah iaitu khusus bagi para pelajar yang mengikuti kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong yang akan menduduki peperiksaan awam pada akhir tahun ini. Majlis ini diadakan di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat, bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Peperiksaan yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Mohamad bin Haji Bagol, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Universiti Brunei Darussalam.

Sementara bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait pula, majlis yang sama diadakan serentak di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampong Pandan, Daerah Belait. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis juga dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat, bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Peperiksaan yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Abdul Qayyum bin Haji Aminuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Rancangan Perumahan Negara, Kampong Pandan.

Kelas tuisyen PIP Yayasan menumpukan pembelajaran mata-mata pelajaran teras bagi memastikan para pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan supaya mereka mendapat peluang terbaik dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Mata-mata pelajaran teras yang diajar bagi Tahun 5 dan 6 ialah Bahasa Melayu, Mathematics, English dan Science. Manakala bagi Tahun 10 dan 11 ialah Bahasa Melayu, Mathematics ‘D’, English dan Combined Science.

Selain itu, mata-mata pelajaran wajib bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) juga diserapkan dalam program PIP ini yang dipanggil dengan Projek Tahsin. Mata-mata pelajaran yang diajar bagi Darjah 5 dan 6 ialah Al-Quran, Amali Ugama, Tauhid, Fiqh 1 (Solat & Zakat) dan Tajwid.

Pada tahun ini, seramai 572 orang pelajar yang mengikuti projek kelas tuisyen PIP di tujuh buah pusat di seluruh negara akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini iaitu 89 orang pelajar akan menduduki Penilaian Sekolah Rendah (Tahun 6); 125 orang pelajar akan menduduki Peperiksaan BCGCE ‘O’ Level (Tahun 11); dan 103 orang pelajar akan menduduki SSSRU.