Pada 19 Safar 1445 bersamaan 5 September 2023, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan yang keseluruhannya berjumlah BND133,013.00 kepada beberapa buah keluarga yang memerlukan bantuan dan kepada sebanyak 64 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara. 

Keterangan sumbangan tersebut adalah seperti berikut:

1.  Bantuan Membaik pulih Rumah

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan bantuan berupa sumbangan kewangan berjumlah BND24,963.00 bagi tujuan membaikpulih rumah sebuah keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan. 

Sumbangan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada ketua keluarga iaitu Dayang Munah binti Suboh di Kampong Parit Belayang, Daerah Temburong.

Bantuan tersebut adalah selaras dengan tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat dengan memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan termasuk memberikan tempat tinggal yang sempurna dan selamat.

2.  Sumbangan Mangsa Kebakaran

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah BND41,350.00 kepada 10 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan rumah roboh di beberapa buah kampung di Daerah Brunei dan Muara; dan Daerah Tutong.

Mereka yang terlibat ialah:

  1. Pengiran Abdul Waree bin Pengiran Abdul Ghani, Kampong Madewa
  2. Awang Haji Azhari bin Haji Dullah, Kampong Setia ‘B’
  3. Awang Ghadafi bin Abd Nasir, Kampong Bebatik
  4. Awang Haji Jalil bin Haji Nasar, Kampong Saba Tengah
  5. Awang Kijam bin Laye, Kampong Panchong
  6. Awang Ilman bin Bungsu, Kampong Bendahara Lama
  7. Awang Md Yasin bin Suhaili, Kampong Layong Tutong
  8. Dayang Mariam binti Haji Lamit, Kampong Tamoi Tengah
  9. Dayang Hajah Aisah binti Haji Timbang, Kampong Tamoi Tengah
  10. Dayang Fatimah binti Raman, Kampong Tamoi Tengah

Sumbangan ini merupakan bantuan segera dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

Kesemua sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

3.  Sumbangan kepada Masjid, Surau dan Balai Ibadat

Selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mempertingkatkan syiar Islam di negara ini, sebanyak 64 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1445H/2023M.  Daripada jumlah tersebut, sebanyak 21 buah masjid, surau dan balai ibadat adalah daripada Daerah Brunei dan Muara; 23 buah di Daerah Tutong; 8 buah di Daerah Belait dan 12 buah di Daerah Temburong.  Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.

Jumlah sumbangan kewangan diberikan keseluruhannya ialah sebanyak BND66,700.00.

Sumbangan kepada 64 buah masjid, surau dan balai ibadat disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.