Pada 10 Jamadilakhir 1445 bersamaan 23 Disember 2023, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Penghargaan Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Dewan Serambi Suluh, Tarindak d’Seni, Bandar Seri Begawan.

Hadir sebagai tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan penghargaan daripada tetamu kehormat majlis. Seterusnya adalah ucapan penghargaan mewakili ahli-ahli sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Yang Mulia Awang Md Nazib bin Lamat, Ahli Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Seramai 240 orang ahli sukarelawan yang aktif menyumbang khidmat bakti dalam menjayakan projek-projek dan aktiviti-aktiviti Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sepanjang tahun 2021 hingga 2023 menerima sijil penghargaan di majlis ini.  

Ditubuhkan pada 9 Januari 2005, Unit Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan satu platform untuk membolehkan sesiapa sahaja yang berhasrat dan berminat menjadi sukarelawan Yayasan  Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk tampil kehadapan menyalurkan sumbangan khidmat bakti mereka dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti kebajikan terutamanya dalam perkhidmatan masyarakat.  

Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Juga hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah Urusan Yayasan, serta pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.