Pada 30 Safar 1445 bersamaan 16 September 2023, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Penandatanganan Perjanjian Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2023/2024 bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan. 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis Penandatanganan Perjanjian bagi penerima anugerah biasiswa Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah 2023/2024 yang telah berlangsung di Istana Nurul Iman.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid yang juga Alumni “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara majlis diteruskan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi keempat-empat orang penerima biasiswa yang ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat.  Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama dengan Yang Mulia Awang Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis pada petang ini diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengajian masing-masing.

Turut hadir di majlis ini ialah Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah;  dan sebahagian Pengetua-Pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.

Adalah menjadi harapan dengan adanya biasiswa seumpama ini akan dapat melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, raja dan negara.