Pada 7 Rejab 1442 bersamaan 19 Februari 2021, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah BND23,800.00 kepada dua buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di Daerah Brunei dan Muara baru-baru ini. Bantuan ini dilaksanakan dengan segera bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

Ketua keluarga mangsa kebakaran yang menerima sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah Dayang Puasa @ Kasmah binti Haji Kasim, Kampong Manggis Satu dan Awang Haji Ismail bin Haji Abdul Kadir, Kampong Lambak Kiri.

Sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.