Pada hari Sabtu, 18 Muharram1445 bersamaan 5 Ogos 2023, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bokiah berkenan berangkat membuat lawatan kerja ke Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ke Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mencerminkan tanda keprihatinan Duli Yang Teramat Mulia terhadap usaha dan rancangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam bidang pendidikan.  Bidang pendidikan merupakan salah satu dari lima objektif utama penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Pelan Strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2020-2025 juga menggariskan penglibatan dan komitmen Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terhadap bidang Pendidikan iaitu melalui Matlamat Strategik (SG) – “Menyokong Pencapaian Pendidikan yang Berkualiti dan Saksama” yang juga sejajar dengan matlamat Wawasan Negara 2035 iaitu bagi melahirkan Rakyat yang Berpendidikan Tinggi dan Berkemahiran.

Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang terdiri daripada Taman Asuhan Kanak-Kanak, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah menawarkan perkhidmatan pendidikan dari peringkat kelas bimbingan kanak-kanak (nursery / kindergarten) hingga Menengah Tahun 11.  Selain itu, kelas bagi pengajian Sekolah Ugama (di bawah kelolaan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama) juga disediakan pada sebelah petang.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang terkini dan bersesuaian bagi menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif.

Selain daripada mempraktikkan kurikulum nasional yang disediakan oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan perhatian terhadap penerapan falsafah kebangsaan Melayu Islam Beraja (MIB) dalam setiap program pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti ko-kurikulum pelajar. Penerapan falsafah kebangsaan ini diperkenalkan kepada para pelajar seawal peringkat taman asuhan sehingga ke peringkat menengah.

Pencapaian Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam bidang akademik yang dinilai daripada pencapaian para pelajar dalam peperiksaan awam iaitu peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan peperiksaan GCE ‘O’ Level menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan.

Pencapaian pelajar dalam peperiksaan PSR pada lima tahun kebalangan dari tahun 2019 hingga tahun 2022 mencatatkan pencapaian yang sangat membanggakan iaitu 100 peratus pelajar lulus kecuali tahun 2020 dan 2021 sahaja mencatatkan 99 peratus lulus. Peratus pelajar yang memperolehi gred A hingga C dalam lima mata pelajaran bagi peperiksaan PSR juga sangat menggalakkan iaitu mencatatkan lebih 95% pelajar kecuali pada tahun 2002 yang menurun sedikit kepada 92 peratus.

Pencapaian keputusan pelajar-pelajar dalam peperiksaan BGCE ‘O’ Level dari tahun 2019 hinggan tahun 2022 juga sangat membanggakan iaitu lebih 70% pelajar telah mendapatkan sekurang-kurangnya 5 kredit.

Selaras dengan Sistem Pendidikan Negara ke abad 21 (SPN 21), Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga mengoptimumkan penggunaan teknologi digital dalam sistem pembelajaran dan pengurusan sekolah.  Sejak tahun 2016, Sekolan ini telah diiktiraf sebagai Microsoft Showcase School di Negara Brunei Darussalam.  Pada tahun ini (2023), Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama Advanced Neural Technology for Teaching (ANTT) Robotics, Korea.

Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassnaal Bolkiah juga menitikberatkan terhadap pembangunan keperibadian pelajar (character building) secara holistik (dari segi kerohanian, akhlak, intelek, dan sosial) dengan menglibatkan semua pelajar dalam kegiatan kokurikulum. Pencapaian sekolah dan pelajar dalam kegiatan kokurikulum juga sangat menggalakkan.  Sekolah ini telah mencatat beberapa kejayaan dalam beberapa aktiviti kokurikulum di peringkat negara, serantau dan antarabangsa.  Sekolah ini juga mengikuti beberapa program pengantarabangsaan dan pertukaran pelajar bersama institusi-institusi pengajian di luar negara (Jepun, Singapura dan Malaysia) bagi memberikan pendedahan kepada para pelajar dan guru ke arena antarabangsa.

Menilai daripada pencapaian akademik dan kokurikulum yang direkodkan, Sekolah ini telah mendapat perhatian daripada pihak ibu-bapa dan telah berjaya bertapak sebagai sebuah institusi pendidikan swasta yang dikenali dan menjadi pilihan para ibu bapa.  Perkara ini jelas sekali dengan meningkatnya keramaian para pelajar dan kini populasi keseluruhan ketiga sekolah telah memenuhi 100 peratus kapasiti sekolah. 

Populasi keseluruhan pelajar bagi ketiga-tiga sekolah adalah seramai 2005 orang pelajar dengan seramai 128 orang tenaga pengajar yang professional dan terlatih.   Daripada jumlah tersebut seramai 463 pelajar TASKA, 1,082 pelajar Sekolah Rendah dan 460 pelajar Sekolah Menengah.

Aturcara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.  Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Acara diteruskan dengan sembah taklimat mengenai perkembangan dan pencapaian Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarh Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Ali Lembaga Tadbir Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diikuti dengan sesi soal jawab.

Aturcara diteruskan dengan keberangkan lawatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bermula dari Taman Asuhan Kanak-Kanak, diikuti dengan Sekolah Rendah dan berakhir di Sekolah Menengah.  Semasa keberangan lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah disembahkan dengan berbagai-bagai aktiviti bilik darjah dan luar bilik darjah para pelajar dari ketiga-tiga buah Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.