Pada 25 Safar 1444 bersamaan 22 September 2022, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kepada sejumlah lima buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan bencana alam; dan kepada sebanyak 74 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara yang keseluruhannya berjumlah BND110,450.00.

Selaras dengan dasar penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah BND32,250.00 kepada lima buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan bencana alam di beberapa buah kampung di Daerah Brunei dan Muara.  Ketua keluarga yang menerima sumbangan ini ialah Awang Sharizan bin Ibrahim, Kampong Masin; Dayang Hajah Junaidah binti Mohd Salleh, Kampong Anggerek Desa; Pengiran Hajah Jubaidah binti Pengiran Haji Umar, Kampong Pasai; Pengiran Hajah Aisah binti Pengiran Haji Menudin, Kampong Menglait; dan Dayang Aisah binti Haji Tengah, Kampong Sungai Kebun.

Sumbangan ini merupakan bantuan segera dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

Selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mempertingkatkan syiar Islam di negara ini, sebanyak 74 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1444H/2022M.  Daripada jumlah tersebut, sebanyak 32 buah masjid, surau dan balai ibadat adalah daripada Daerah Brunei dan Muara; 23 buah di Daerah Tutong; 8 buah di Daerah Belait dan 11 buah di Daerah Temburong.  Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan. Jumlah sumbangan kewangan diberikan keseluruhannya ialah sebanyak BND78,200.00.

Kesemua sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.