Sepertimana kelaziman, majlis-majlis keagamaan diadakan sempena bulan Ramadan iaitu bagi menyemarakkan lagi bulan yang penuh keberkatan ini.

Pada 24 Ramadan 1443 bersamaan 26 April 2022, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Bulan Ramadan 1443H/2022M.

Berangkat ke majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan takhtim Al-Quran oleh pembaca-pembaca terdiri dari 30 orang pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Bacaan takhtim Al-Quran dipimpin oleh Ustaz Dr Haji Samsul Muawan bin Haji Shodiq, Guru Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis diteruskan dengan Doa Khatam dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Majlis selanjutnya diteruskan lagi dengan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah.

Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Mulia Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Juga hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; para jemputan, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.