Pada 11 Safar 1444 bersamaan 8 September 2022, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Penandatanganan  Perjanjian Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2022/2023 bertempat di Dewan An-Naura, Tingkat 2, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis Penandatanganan Perjanjian bagi penerima anugerah biasiswa Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah 2022/2023 yang juga telah berlangsung pada hari ini di Istana Nurul Iman.

Seramai tujuh orang penuntut yang berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2022/2023 iaitu bagi peringkat Sarjana Muda dan seramai dua orang penuntut lagi bagi peringkat Ijazah Sarjana hadir menandatangani perjanjian di majlis ini.  Mereka ialah:

  • Awangku Muhammad ‘Ashim ‘Afiif bin Pengiran Haji Md Zin adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
  • Awang ‘Abdul Majid bin Haji Shazli adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
  • Dayang Nur Iwana Athilah binti Haji Mahri adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Lughah Arabiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
  • Dayang Patricia Sim Xiang Ru ialah lepasan penuntut Jerudong International School dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan ‘MedicineSurgery and Obstetrics’ di Trinity College Dublin, Ireland.
  • Dayang Lim Jia Yi adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Mechanical Engineering di University College London, United Kingdom.
  • Awang Haji Mohammad Wajdi bin Haji Mohammad Ja’afar adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Civil Engineering di University of Edinburgh, United Kingdom.
  • Dayang Elmeeza Bazillah binti Abdullah Mohammad Yasrinal Eddy Abdullah adalah lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Mechanical Engineering di University College London, United Kingdom.
  • Awang Muhammad Fikri bin Haji Ali adalah lepasan graduan University of Southampton, United Kingdom dan telah lulus dengan memperolehi Kepujian Kelas Pertama (First Class with Honours) dalam jurusan MORSE (Mathematics, Operational Research, Statistics and Economics). Melalui biasiswa “Sultan’s Scholar”, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Operational Research with Data Science di University of Edinburgh, United Kingdom.
  • Dayang Nurhidayah Binti Abdul Hamid adalah lepasan graduan Universiti Brunei Darussalam dan telah lulus dengan memperolehi Kepujian Kelas Pertama (First Class with Honours) dalam jurusan Sosiologi dan Antropologi. Melalui biasiswa “Sultan’s Scholar”, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Psychology of Mental Health di University of Edinburgh, United Kingdom.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Haji Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain, Pegawai Buhuth di Jabatan Mufti Kerajaan yang juga Alumni “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara majlis diteruskan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi kesembilan-sembilan orang penerima biasiswa yang ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat.  Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama dengan Yang Mulia Awang Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis pada petang ini diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengajian masing-masing.

Turut hadir di majlis ini ialah sebahagian Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Adalah menjadi harapan dengan adanya biasiswa seumpama ini akan dapat melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, raja dan negara.