Pada 19 Syaaban 1440H bersamaan 25 April 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan kewangan bagi aktiviti pentakmiran kepada sebahagian masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara. Majlis ini diadakan di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Suiltan Haji Hassanal Bolkiah.

Dalam usaha menyokong peranan masjid untuk meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan bantuan dan sumbangan kepada sebahagian masjid, surau dan balai-ibadat di seluruh negara bagi aktiviti takmir masjid, surau dan balai-ibadat.

Sebanyak 51 buah masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara pada hari ini menerima sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir khususnya bagi sepanjang bulan Ramadan yang akan datang. Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada imam-imam dan pegawai-pegawai masjid berkenaan.

Kesemua sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang Mulia Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir di majlis ini ialah Penolong-Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.