Dalam memberikan perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk khususnya dalam situasi negara yang sedang berdepan dengan gelombang kedua penularan wabak COVID-19, pada 13 Rabiulawal 1442 bersamaan 20 Oktober 2021, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada beberapa pihak dan individu yang memerlukan dengan keseluruhan jumlah hampir BND250,000.00.

Kesemua sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. 

1. Sumbangan Peralatan dan Keperluan Kecemasan COVID-19

Sebagai sokongan terhadap langkah-langkah pengawalan dalam menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini,  Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan sebanyak 20 buah mesin pembersih udara (Air cleaner ‘LUX Hera’) dan 200 buah termometer inframerah (infrared thermometer) kepada Pusat-Pusat Kecemasan Kementerian Kesihatan.

Di samping itu sebanyak 2,500 naskhah buku Yasin dan doa-doa pendek terbitan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga disumbangkan kepada para petugas barisan hadapan dan pesakit COVID-19 yang ditempatkan di Pusat-Pusat Pengasingan Kebangsaan di seluruh negara.  Buku Yasin dan Doa tersebut merupakan tulisan tangan dan reka bentuk yang dihasilkan oleh penulis khat Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam.

2. Sumbangan Peralatan Pembelajaran Dalam Talian

Bagi membantu para pelajar yang memerlukan mengikuti pembelajaran dalam talian semasa penularan wabak COVID-19, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyumbangkan beberapa peralatan dan keperluan pembelajaran dalam talian. Sumbangan ini adalah selaras dengan matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mendukung pencapaian pendidikan yang berkualiti dan saksama bagi semua lapisan masyarakat.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan sebanyak 78 unit komputer riba (laptop) kepada pejalar-pelajar yang memerlukan di beberapa buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan. Sumbangan tersebut diterima oleh Yang Mulia Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu sebanyak 175 unit Data, 37 buah komputer riba (laptop) dan seunit tablet juga disumbangkan khusus bagi seramai 216 orang pelajar yang akan menduduki peperiksaan bersijil di bawah kawalan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Sumbangan tersebut diterima oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam.

3. Sumbangan kepada Persatuan SMARTER Brunei dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga menyampaikan sumbangan kepada dua buah badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan orang kelainan upaya (OKU) iaitu Persatuan SMARTER Brunei  dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.  Sumbangan adalah merupakan inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU kerana mereka sewajarnya diberikan bimbingan, didikan dan kemahiran supaya menjadi individu yang berjaya dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.

Persatuan SMARTER Brunei menerima sumbangan kewangan berjumlah BND50,000 iaitu merupakan sumbangan tahunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (bagi tahun 2022).  Daripada jumlah sumbangan tersebut,  sebanyak 50% disumbangkan kepada Persatuan SMARTER Brunei untuk mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik.  Manakala sebanyak 50% lagi adalah untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autisme daripada keluarga yang berpendapatan rendah.  Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, Yang Di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei. 

Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan kewangan sebanyak BND50,000 iaitu merupakan sumbangan tahunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (bagi tahun 2022).  Sumbangan adalah untuk memberi sokongan kepada pusat tesebut dalam mengendalikan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum. Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemegang Amanah Kesihatan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

4. Sumbangan kepada Mangsa Kebakaran Kampong Burong Pingai Ayer

Sebanyak tiga buah keluarga (seramai sembilan orang) yang terlibat dalam kebakaran dua buah rumah di Kampong Burong Pingai Ayer pada 16 Oktober 2021 menerima sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang berjumlah BND3,450.  Sumbangan dihasratkan bagi membantu meringankan beban mangsa untuk kembali menjalani kehidupan seharian.

Sumbangan diterima oleh ketua keluarga yang terlibat iaitu Awang Haji Bali bin Yahya dan Dayang Wan Zunaidah binti Mohammed Zain Ariff.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.