Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-34
Pada 23 Rabiulakhir 1448 bersamaan 5 Oktober 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-34 Tahun di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murad. Ini diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Kesyukuran sempena 34 tahun penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak menaiki Takhta. Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Ahli Kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Sepanjang lebih tiga dekad penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menyentuh kehidupan ribuan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam melalui pelbagai program, projek dan inisiatif yang selaras dengan tujuan penubuhannya, sekali gus memberi impak nyata dalam bidang pendidikan, sosial, kesihatan serta pembangunan ekonomi dan keusahawanan.
Setiap usaha yang dilaksanakan bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah menjadi pemangkin kepada kemajuan jangka panjang, seiring dengan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.
Dalam setiap perancangan dan pelaksanaan program, projek serta aktivitinya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sentiasa mendukung penuh agenda pembangunan negara sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Penyampaian Sumbangan Kewangan Kepada Dua Buah NGOs
Semasa majlis ini juga, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiahberjumlah keseluruhan BND100,000.00 kepada dua buah badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan bagi golongan orang kelainan upaya (OKU).
Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU, khususnya dalam memberikan mereka bimbingan, pendidikan dan kemahiran yang bersesuaian agar dapat mengembangkan potensi diri serta memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Dua buah badan bukan kerajaan tersebut ialah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Persatuan SMARTER Brunei.
Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam
Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan kewangan sebanyak BND50,000.00.
Sumbangan tersebut merupakan sumbangan tahunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi tahun 2026 sebagai sokongan kepada Pusat Ehsan dalam mengendalikan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang mempunyai kelainan upaya dari segi anggota dan intelek bagi membantu mereka mencapai potensi diri ke tahap yang maksimum.
Sumbangan Yayasan diterima oleh Yang Mulia Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemegang Amanah Perubatan, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Persatuan SMARTER Brunei (Persatuan bagi sekumpulan ibu-bapa yang mempunyai anak yang memiliki autisme)
Persatuan SMARTER Brunei menerima sumbangan kewangan berjumlah BND50,000.00, yang merupakan sumbangan tahunan Yayasan bagi tahun 2026.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50% disumbangkan kepada Persatuan SMARTER Brunei bagi mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus untuk anak-anak autistik. Manakala 50% lagi diperuntukkan bagi pembayaran yuran pendidikan anak-anak autistik daripada keluarga berpendapatan rendah yang mengikuti pembelajaran di SMARTER Brunei.
Sumbangan Yayasan ini diterima oleh Yang Mulia Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, Yang Di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei.
Pengurniaan Anak-Anak Kunci Rumah Bantuan di bawah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Pada majlis ini juga, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malikberkenan menyempurnakan Pengurniaan Anak-anak Kunci Rumah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada lima buah keluarga yang kurang berkemampuan. Para penerima tersebut ialah:
Daerah Brunei dan Muara
- Awang Mohammad Effandy bin Mohammad Hamir
- Awang Ahmad bin Daud
- Awang Mohamad Hatral Sufizan bin Awang Abdul Hamid
- Awang Suhaimi bin Haji Sidop
Daerah Belait
- Dayang Hajah Duli Nurdiana binti Haji Mohd Daud
Rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan, terutamanya mereka yang tinggal di kediaman yang daif dan tidak selamat untuk didiami.
Projek pembinaan rumah bantuan ini menepati hala tuju strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat dengan memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang memerlukan. Inisiatif ini seterusnya dihasratkan dapat memberikan peluang kepada para penerima untuk memperbaiki taraf hidup keluarga dari aspek sosial, ekonomi, dan kesejahteraan secara keseluruhan. Sehingga hari ini sebanyak 189 buah rumah di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah dibina di seluruh negara bagi memberikan harapan baharu kepada para penerima dan keluarga untuk meneruskan kehidupan harian mereka dalam persekitaran rumah yang selesa dan selamat.
Juga hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; para jemputan khas; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.