Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat Dan Pemerkasaan Komuniti 2026
Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat Dan Pemerkasaan Komuniti buat julung-julung kali dianjurkan bersama oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) dengan kerjasama dua rakan strategik luar negara iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS).
Dengan tema “Memperkasa Khidmat Masyarakat ke Arah Pembangunan Ummah Lestari”, persidangan ini merupakan medan ilmiah yang menghimpunkan para sarjana, pengamal industri, pertubuhan bukan kerajaan, pembuatdasar, mahasiswa serta pelbagai pihak berkepentingan dari dalam dan luar negara bagi memperkukuh agenda khidmat masyarakat, pemerkasaan komuniti dan pembangunan ummah.
Kerjasama strategik UNISSA dan YSHHB mencerminkan jalinan padu kedua-dua buah institusi dalam memperkukuhkan agenda khidmat masyarakat dan pemerkasaan komuniti di Negara Brunei Darussalam. Manakala penglibatan daripada USIM dan UNIQSAAS akan mengeratkan lagi hubungan kerjasama serantau melalui perkongsian ilmu, penyelidikan dan amalan terbaik dalam bidang khidmat masyarakat, pembangunan insan dan pemerkasaan komuniti di peringkat antarabangsa.
Bagi UNISSA, persidangan ini mencerminkan visi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut intelektual, tetapi juga generasi yang prihatin terhadap masyarakat dan bersedia menyumbang kepada kesejahteraan agama, bangsa dan negara. Manakala bagi YSHHB, persidangan ini selaras dengan dasar dan tujuannya dalam memperkukuhkan pembangunan Masyarakat melalui inisiatif kebajikan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Perasmian Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat Dan Pemerkasaan Komuniti yang diadakan pada 20 Muharam 1448 bersamaan 6 Julai 2026 di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie, Mahkamah Syariah.
Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan daripada Yang Mulia Dr Awang Haji Arman bin Haji Asmad, Pemangku Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat Dan Pemerkasaan Komuniti 2026 (IC-COPE 2026).
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya berkenan menyempurnakan Perasmian Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat Dan Pemerkasaan Komuniti 2026.
Aturcara Majlis diteruskan dengan pembentangan kertas ucaptama yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr Dayang Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman, Penolong Profesor, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik seterusnya berkenan bagi menyaksikan pameran yang mempamerkan poster-poster yang relevan dengan aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat yang merupakan salah satu elemen penting dalam pembangunan ummah dan pembinaan peradaban insan yang seimbang dari sudut spiritual, intelektual dan sosial. Pameran ini disertai oleh beberapa agensi termasuk Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB); Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Bank Usahawan, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB); dan juga Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi berteraskan nilai-nilai Islam mempunyai tanggungjawab strategik untuk memimpin inisiatif khidmat masyarakat, kesukarelawanan, dakwah dan misi kemanusiaan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Dalam konteks global hari ini, peranan universiti dan institusi pendidikan tinggi bukan sahaja tertumpu kepada pengajaran dan penyelidikan, malah turut memikul tanggungjawab sosial kepada masyarakat sejagat.
Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat Dan Pemerkasaan Komuniti 2026 akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini. Seramai 57 orang pembentang terdiri daripada Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia, Republik Arab Mesir dan Emiriah Arab Bersatu menyertai persidangan ini yang akan membincangkan cabaran dan solusi terhadap isu-isu kemanusiaan dan sosial kontemporari. Persidangan ini nanti dihasratkan dapat melahirkan resolusi yang bernas dan praktikal dalam memperkasakan budaya khidmat masyarakat serta semangatkebersamaan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Selain pembentangan kertas-kertas dan forum, persidangan ini juga mengandungi pengisian pengalaman khidmat masyarakat dengan menyantuni beberapa komuniti di beberapa lokasi strategik di negara ini, iaitu Kampong Bolkiah, Pusat Ehsan dan SMARTER.
Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat Dan Pemerkasaan Komuniti 2026 ini diadakan bersempena dengan Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2026 (Brunei MYCE 2026).
Dengan adanya persidangan ini diharapkan akan menjadi medan perkongsian amalan terbaik (best practices) dalam bidang kesukarelawanan, kemanusiaan, pembangunan komuniti, dakwah dan kesejahteraan sosial di peringkat serantau dan antarabangsa.