Projek dan aktiviti yang dikendalikan oleh Yayasan menumpukan kepada usaha bagi mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup serta mempertingkatkan pembangunan sosiobudaya dan sosioekonomi dikalangan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

Pada 23 Safar 1441 bersamaan 22 Oktober 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan dalam beberapa bentuk bantuan yang keseluruhannya berjumlah BND36,100.00 seperti berikut:

1. Bantuan Rawatan dan Perubatan

Dalam memeduli kebajikan dan kesejahteraan hidup dikalangan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, Yayasan turut memberikan bantuan kepada pesakit yang memerlukan bantunan sama ada dalam bentuk pembiayaan rawatan dan perubatan, mahupun bantuan dalam bentuk keperluan dan peralatan pesakit.

Bagi tujuan ini, Yayasan memberikan sumbangan peralatan sebuah sistem hidraulik dan pembiayaan pengubahsuaian kereta (yang keseluruhannya berjumlah BND17,800.00) kepada Dayang Nur Arifah Yasmoon binti Yusof. Peralatan sistem hidraulik tersebut membantu memudahkan keluar dan masuk dari kereta yang telah diubahsuai mengikut keperluan beliau.

Dayang Nur Arifah Yasmoon ialah seorang pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang di bahagian leher (spinal cord injury causing tetraplegia). Walau bagaimanapun, keadaan fizikal beliau tidak menghalang beliau untuk bekerja dan berkhidmat sebagai seorang guru. Dengan adanya sumbangan daripada Yayasan ini, telah dapat memudahkan beliau untuk meneruskan kerjaya dan menjalani kehidupan harian dengan mudah.

2. Sumbangan Mangsa Kebakaran

Yayasan dari semasa ke semasa memberikan pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran rumah. Bantuan ini dilaksanakan dengan segera bagi meringankan beban mangsa yang terlibat untuk meneruskan kehidupan harian.

Yayasan memberikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND8,300.00 kepada sebuah keluarga mangsa kebakaran rumah yang berlaku pada 30 September 2019 yang lalu di Kampong Pelambayan, Mukim Kota Batu.

Sumbangan Yayasan diterima oleh ketua keluarga mangsa kebakaran rumah iaitu Awang Haji Manan bin Haji Yusof .

3. Bantuan Perumahan

Yayasan menyerahkan rumah bantuan kepada Dayang Hajah Rinawati binti Haji Serudin di Kampong Setia ‘A’ dengan perbelanjaan sebanyak BND10,000.00. Dayang Hajah Rinawati adalah seorang ibu tunggal dan menyara tiga orang anak yang masih bersekolah. Beliau menerima bantuan kebajikan BND350.00 daripada JAPEM bagi menampung perbelanjaan harian.

Sebelum ini, Dayang Hajah Rinawati bersama dengan anak-anak beliau menumpang di rumah orang tua beliau dengan hanya sebilik untuk mereka anak-beranak. Dengan keadaan rumah yang mempunyai ramai ahli keluarga yang lain, beliau memerlukan rumah sendiri bagi keselesaan dirinya dan anak-anaknya demi masa depan mereka.

Kesemua sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.