Pada 5 Zulhijjah 1447 bersamaan 22 Mei 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Memulakan Tiang bagi Projek Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Skim Bantuan Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi tahun 2025–2026 di Tapak Perumahan Yayasan, Kampung Katok.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan majlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis Memulakan Tiang bagi Projek Pembinaan Rumah ini menandakan bermulanya projek pembinaan lima buah rumah bantuan iaitu empat buah rumah di Daerah Brunei Muara dan satu buah rumah di Daerah Belait. 

Projek pembinaan rumah bantuan merupakan salah satu sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat, selesa dan sempurna kepada golongan yang kurang berkemampuan, termasuk mereka yang sebelum ini tinggal dalam keadaan rumah yang daif dan tidak selamat untuk didiami.

Penyediaan bantuan perumahan ini juga adalah selaras dengan tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam bidang kebajikan, serta mendukung salah satu Matlamat Strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Mengimbangi Pemedulian Keperluan Asasi. Tempat tinggal yang sempurna bukan sahaja menjadi perlindungan fizikal, malah merupakan asas penting dalam membina kehidupan keluarga yang lebih teratur, sihat dan sejahtera.

Majlis pada hari ini berlangsung di tapak pembinaan bagi dua buah rumah bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu di Lot LTS16/2025 dan Lot LTS17/2025, simpang 185-82-51, Kampung Katok, Jalan Tungku, Mukim Gadong ‘A’, Daerah Brunei Muara.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan ikuti dengan laungan azan dan selawat oleh Yang Mulia Awang Mohamad Adham bin Hashim, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampong Rimba, Gadong.  Majlis diteruskan dengan upacara memulakan tiang bagi pembinaan rumah bantuan yang didahului oleh tetamu kehormat.  Majlis berakhir dengan bacaan Doa Selamat.

Projek pembinaan rumah bantuan ini dijangka siap sepenuhnya pada bulan Oktober 2026.  Reka bentuk rumah bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengetengahkan konsep yang lebih moden serta selaras dengan perkembangan teknologi semasa dalam pembinaan rumah kos rendah. Selain itu, kaedah pembinaannya juga membolehkan projek disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat.

Turut hadir di majlis ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmibin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selakuAhli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Hj Abd Razak, Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Pegawai-Pegawai Kerajaan yang berkenaan; Pegawai-Pegawai KananYayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta pihak syarikat kontraktor pembinaan.