Pada 11 Muharam 1441 bersamaan 11 September 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND32,370.00 seperti berikut:

Institut Pengajian Dasar, Universiti Brunei Darussalam

Yayasan memberikan sumbangan sebanyak BND5,000.00 kepada Institut Pengajian Dasar, Universiti Brunei Darussalam bagi membiayai sebahagian daripada perbelanjaan untuk mengadakan Simposium Antarabangsa Urus Tadbir Islam (International Islamic Governance Symposium) Kali Pertama dengan tema Evolusi Negara Islam (The Evolution of the Muslim State).

Ilmu ataupun dapatan daripada simposium tersebut nanti akan berperanan sebagai platform bagi mengimplementasikan MIB dalam sistem pentadbiran negara secara bersepadu.

Sumbangan ini adalah sebagai sokongan Yayasan kepada institusi pengajian dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan perkembangan (research and development) bagi kepentingan dan kemajuan ilmu dan kemasyarakatan.

Sumbangan daripada Yayasan diterima oleh Dayang Norainie binti Ahmad, Pensyarah dan Penyelaras Program Graduan, Institut Pengajian Dasar, Universiti Brunei Darussalam.

Persatuan Belia Belait (PEMBELA)

Yayasan memberikan sumbangan sebanyak BND15,000.00 kepada Persatuan Belia Belait (PEMBELA) bagi membiayai sebahagian daripada perbelanjaan untuk menganjurkan ‘Brunei Darussalam Youth Cultural Exchange and Conference 2019 (BDYCEC 2019)’. Sumbangan ini dihasratkan bagi mempertingkatkan penglibatan belia dalam pembangunan masyarakat dan negara.

BDYCEC 2019 adalah program yang mengumpulkan belia dan beliawanis dalam membudayakan semangat cintakan seni dan menghargai ciri-ciri kebudayaan, menghalusi seni budaya dan memantapkan khazanah negara serta memberi peluang pekerjaan melalui pelancongan.

Sumbangan daripada Yayasan diterima oleh Awang Haji Roslan bin Haji Hamdan, Timbalan Yang Di-Pertua PEMBELA.

Balai Ibadat Hajah Aminah Kampong Long Mayan, Tutong

Bagi mempertingkatkan perkembangan syiar Islam, Yayasan memberikan sumbangan sebanyak BND1,730.00 kepada Balai Ibadat Hajah Aminah Kampong Long Mayan, Tutong untuk mengadakan Program Menghalusi Fardu Ain yang dijalankan pada 1 hingga 4 Oktober 2019.

Program ini adalah salah satu usaha dalam mengembangkan lagi gerakan dakwah dan syiar Islam di kampung berkenaan yang mempunyai ramai penduduk mualaf.

Sumbangan daripada Yayasan diterima oleh Awang Muhd Ghazali bin Muhd Ariffin, Ketua Imam Balai Ibadat Hajah Aminah Kampong Long Mayan, Tutong.

Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong

Yayasan memberikan sumbangan sebanyak BND2,490.00 kepada Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman Masjid Hassanal Bolkiah untuk membiayai Aktiviti Perkhemahan ‘Dare to be Different 3.0’ yang dikendalikan oleh Jawatankuasa dan Belia/Beliawanis Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Sumbangan tersebut merupakan sokongan Yayasan dalam memperkembangkan aktiviti takmir masijd berkenaan di samping memberikan galakan kepada para belia untuk aktif dalam aktiviti keugamaan.

Sumbangan daripada Yayasan diterima oleh Awang Muhammad Firas bin Kalong/Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

Mangsa Rumah Roboh dan Kebakaran

Yayasan dari semasa ke semasa memberikan pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah rumah roboh dan kebakaran rumah. Bantuan ini dilaksanakan dengan segera bagi meringankan beban mangsa yang terlibat.

Yayasan memberikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND8,150.00 kepada keluarga mangsa kebakaran rumah dan kejadian rumah roboh.

Ketua keluarga mangsa kebakaran rumah yang menerima sumbangan daripada Yayasan ialah Awang Sabtu bin Timbul, Kampong Mentiri (kejadian kebakaran rumah berlaku pada 2 Ogos 2019);

Ketua keluarga mangsa kejadian rumah roboh yang menerima sumbangan daripada Yayasan ialah Awang Haji Mohd Irni bin Haji Mohd Daud, Kampong Saba Darat (kejadian rumah roboh berlaku pada 7 September 2019).

Kesemua sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan SELAKU Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.