Pada 13 Oktober 2020, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kepada sejumlah enam buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan kepada sebanyak 77 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara yang keseluruhannya berjumlah BND104,300.00 seperti berikut:

1. Sumbangan Mangsa Kebakaran

Selaras dengan dasar penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah BND22,600.00 (Ringgit Brunei: Dua Puluh Dua Ribu dan Enam Ratus Sahaja) kepada enam buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di beberapa buah kampung di Daerah Brunei dan Muara.

Ketua keluarga mangsa kebakaran yang menerima sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah seperti berikut:

  1. Pengiran Johari bin Pengiran Matasan, Kampong Tanah Jambu;
  2. Awang Wee Tza Shen, Kampong Sungai Hanching;
  3. Dayang Hajah Badariah binti Mamudin, STKRJ Kampong Rimba;
  4. Dayang Hajah Rokiah binti Haji Murni, Kampong Kilanas;
  5. Awang Hamdi bin Admin, STKRJ Kampong Sungai Buloh; dan
  6. Awang Sardini bin Mohd Salleh, RPN Tanah Jambu.

Sumbangan ini merupakan bantuan segera dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

2. Sumbangan kepada Masjid, Surau dan Balai Ibadat

Selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mempertingkatkan syiar Islam di negara ini, sebanyak 77 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1442H/2020M.  Daripada jumlah tersebut, sebanyak 35 buah masjid, surau dan balai ibadat adalah daripada Daerah Brunei dan Muara; 22 buah di Daerah Tutong; 8 buah di Daerah Belait dan 12 buah di Daerah Temburong.  Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.

Jumlah sumbangan kewangan diberikan keseluruhannya ialah sebanyak BND81,700 (Ringgit Brunei: Lapan Puluh Satu Ribu dan Tujuh Ratus Sahaja).

Kesemua sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan Selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.