Syarikat Dayang Salmah & Anak-Anak

8619450

Dayang Salma mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang masakan, membuat kek dan pengendalian makanan. Beliau mewarisi bakat memasak daripada arwah ibu yang banyak memberikan tunjuk ajar sejak kecil lagi. Kesinambungannya, untuk tidak mensia-siakan bakat yang sedia ada Dayang Salma mencurahkan bakatnya untuk berkhidmat sebagai tukang masak di salah sebuah agensi kerajaan.

Masakan Dayang Salma sememangnya memenangi hati mereka yang telah mencubanya. Dayang Salma juga berjinak-jinak menerima tempahan masakan daripada saudara-mara dan rakan pejabat. Usaha tersebut tidak sia-sia malah mendapat sambutan yang menggalakkan. Setelah menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2007, Dayang Salma meneruskan perusahaan tempahan makanan untuk menjana pendapatan yang lebih sebagai persediaan di usia senja, tambahan lagi beliau merupakan seorang ibu tunggal. Dengan bantuan anak-anak, beliau membuka sebuah gerai kecil dan memulakan perniagaan makanan soto dan ikan salai.

Walau bagaimanapun, dengan usia dan keadaan Dayang Salma yang tidak mengizinkan untuk mengerahkan tenaga seperti dulu, beliau telah menerima saranan daripada anak- anak beliau untuk mencuba jenis perniagaan lain.

Dengan bakat yang ada, Dayang Salma kemudiannya mencuba perusahaan pembuatan keropok dengan menghasilkan pelbagai jenis keropok buatan beliau sendiri seperti keropok udang, ikan, sukun, durian, kembayau, labu dan meruku. Selain itu, Dayang Salma juga menjual pelbagai jenis produk makanan hasil buatan beliau sendiri seperti belacan, sesagun, biskut cerelac dan serunding ikan. Gerai yang dahulunya mengundang pelanggan yang ingin menjamu soto dan ikan salai kini dijadikan kedai ‘cube’ untuk menjual makanan hasil air tangan Dayang Salma sendiri.

Pada tahun 2018, Dayang Salma telah menerima bantuan modal keusahawanan melalui Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk mengembangkan perniagaan beliau. Melalui bantuan tersebut, Dayang Salma telah dapat membeli mesin khusus pembuatan keropok bagi menambah hasil jualan. Dayang Salma berhasrat agar perniagaannya akan sentiasa berkembang dan mendapat sambutan dan sokongan daripada orang ramai.

Walaupun mempunyai bakat dan pengalaman dalam bidang masakan, Dayang Salma tetap ada kemahuan untuk sentiasa menambah pengetahuan dengan mengikuti pelbagai kursus masakan dan perusahaan pembuatan makanan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan, swasta dan persatuan seperti Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, LiveWIRE Brunei, Women’s Business Council of Brunei Darussalam dan Majlis Kesejahteraan Masyarakat.

Sebagai timbal balik atas bantuan dan sokongan yang beliau terima, Dayang Salma juga turut memberikan sumbangan kepada masyarakat melalui bakat beliau. Dayang Salma melibatkan diri dalam memberikan kursus asas memasak bagi ibu-ibu tunggal yang dikendalikan oleh Society for Community Outreach & Training (SCOT) Brunei iaitu Program Keusahawanan Inspirasi Ibu Tunggal. Syabas dan pujian buat Dayang Salma.