Menyedari peranan golongan belia dalam pembangunan agama, bangsa dan negara, mereka perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam memikul tanggungjawab sebagai pewaris pemimpin di masa akan datang. Bagi tujuan ini, Yayasan telah melaksanakan beberapa usaha dalam mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat dengan menyediakan berbagai-bagai skim dan program seperti program perkhemahan belia.

Sempena cuti penggal akhir persekolahan tahun 2019, Yayasan menganjurkan perkhemahan belia iaitu Program Perkhemahan Hijrah Mahabbah Lillah. Program perkhemahan ini dikendalikan bersama Kumpulan Al-Qudwah, iaitu terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA). Program Perkhemahan ini telah berlangsung selama empat hari tiga malam bermula dari 7 Disember 2019 hingga 10 Disember 2019 bertempat di Kolej Kediaman Mahasiswa UNISSA.

Perkhemahan Belia yang bertemakan “Cahaya Penyuluh Kehidupan 2.0” disertai oleh seramai 102 peserta (62 orang lelaki dan 40 orang perempuan) yang terdiri daripada para pelajar dari beberapa buah sekolah yang berumur antara 14 hingga 17 tahun.

Program bertujuan untuk meningkatkan keimanan dan jati diri para peserta melalui pendekatan Al-Quran dan As-sunnah, serta menanamkan sikap bertanggungjawab dan amanah di samping menguji kemampuan dan ketahanan mental, emosi dan fizikal setiap peserta. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah ceramah motivasi, bengkel kerohanian, aktiviti kepimpinan, gotong royong, sukan dan riadah.

Pada 13 Rabiulakhir 1441 bersamaan 10 Disember 2019, Yayasan mengadakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Program Perkhemahan Hijrah Mahabbah Lillah Kali ke-7 bertempat di Auditorium Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA), Gadong.

Penyampaian sijil kepada peserta disempurnakan oleh Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Hadir sama di majlis ini ialah Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Sultan Sharif Ali.

Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil diselitkan dengan ceramah motivasi “Cahaya Penyuluh Kehidupan” yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr Widad binti Haji Abdul Aziz, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang UNISSA.