Pada 29 Ramadan 1440 bersamaan 4 Jun 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah meneruskan program amal sempena bulan Ramadan di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong. Sebanyak 93 buah keluarga yang terdiri daripada warga emas dan keluarga yang memerlukan bantuan dari beberapa buah kampung di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong menerima sumbangan kewangan dan makanan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui program amal sempena bulan Ramadan ini.

Selaras dengan dasar penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam yang memerlukan bantuan, sumbangan ini bertujuan bagi membantu mereka dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna dan memberikan keceriaan kepada mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada 52 buah keluarga di Daerah Brunei dan Muara disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan di Dewan Serbaguna Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Sementara sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada 41 buah keluarga di Daerah Temburong disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.