Projek dan aktiviti yang dikendalikan oleh Yayasan menumpukan kepada usaha bagi mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup serta mempertingkatkan pembangunan sosiobudaya dan sosioekonomi dikalangan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

Pada 26 Zulhijjah 1442 bersamaan 6 Ogos 2021, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan dalam beberapa bentuk bantuan seperti berikut:

  1. Sumbangan tajaan 500 beg kitar semula kepada Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-16 untuk digunakan semasa sambutan yang diadakan pada 7 Ogos 2021. Sumbangan diterima oleh wakil Jawatankuasa Tertinggi Hari Kebangsaan Belia ke-16.
  2. Sumbangan tajaan kewangan BND5,000.00 kepada Pertubuhan WARGAMAS Brunei (WEB) bagi kegunaan pengurusan dan pentadbiran WEB. Ahli WEB terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan yang telah bersara dan juga bekerja secara persendirian yang berumur dalam lingkungan 55 tahun ke atas. Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don, Yang Dipertua Pertubuhan WARGAMAS Brunei.
  3. Sumbangan tajaan kewangan BND915.00 kepada Kumpulan Mahasiswa Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah bagi menjalankan projek komuniti di bawah program BHSc Medicine. Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Dayang Queenie Yap Xiao Xuan selaku wakil kumpulan.
  4. Sumbangan bantuan derma BND5,000.00 kepada mangsa kejadian rumah roboh di Kampong Pengiran Tajuddin Hitam yang diterima oleh ketua keluarga, Yang Mulia Awang Mohd Soffri bin Haji Md Jamil. Sumbangan ini dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

Kesemua sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.