Dalam usaha mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menganjurkan program perkhemahan belia iaitu Kem Belia Harapan: “Hero Within”.

Kem Belia Harapan: “Hero Within” dianjurkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan dikendalikan oleh Kumpulan Belia Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong sempena cuti penggal pertama persekolahan. Program Perkhemahan ini berlangsung selama 4 hari 3 malam iaitu bermula pada hari Khamis, 28 Mac 2019 dan akan berakhir pada hari Ahad, 31 Mac 2019 bertempat di kawasan Masjid Sultan Sharif Ali.

Majlis Pelancaran Kem Belia Harapan: “Hero Within” telah dilancarkan pada hari Jumaat, 22 Rejab 1440 bersamaan 29 Mac 2019, bertempat di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampong Sengkurong. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Musthapa bin Haji Matahir, Penolong Pengarah Urusan Yayasan. Turut hadir ialah Imam Masjid Sultan Sharif Ali, Imam Haji Hamdini bin Haji Gharif.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Tilawah Al-Qur’an yang dibacakan oleh Awang Shair bin Samsudin, Belia Masjid Sengkurong dan diikuti dengan ucapan Ketua Belia Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali, Awang Muhammad Najib Min Fadhillah bin Haji Abd Majid. Semasa majlis ini juga, para peserta juga melafazkan ikrar beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Abdul Raqib Mulhim bin Azman, salah seorang peserta kem.

Program perkhemahan belia ini disertai oleh seramai 101 orang peserta iaitu 50 lelaki dan 51 perempuan berumur antara 13 hingga 17 tahun dari seluruh Daerah Brunei dan Muara.

Program ini bertujuan untuk membina dan meningkatkan sifat-sifat kepimpinan dan tahap keperibadian para peserta dari segi rohani dan jasmani serta melatih para peserta dalam aspek kerja berpasukan, bekerjasama dan bertolak ansur. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam program perkhemahan ini adalah ceramah motivasi, bengkel kerohanian, aktiviti kepimpinan, gotong royong, sukan dan riadah.