Penyampaian Sumbangan Kewangan Yayasan
Pada 7 Muharam 1448 bersamaan 23 Jun 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan dan tajaan keseluruhannya berjumlah B$69,736.00. Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
1. Sumbangan Mangsa Kebakaran
Selaras dengan dasar penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah B$8,750.00 kepada tiga buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di beberapa buah kampung di seluruh negara. Sumbangan ini dihasratkan dapat meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan seharian.
2. Sumbangan dan Tajaan
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga menyampaikan sumbangan dan tajaan kepada beberapa pihak bagi mendukung pelaksanaan program keagamaan, kemasyarakatan dan pendidikan.
Tajaan kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali berjumlah B$6,855.00 bagi menganjurkan Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat dan Pemerkasaan Komuniti yang akan diadakan pada 6 dan 7 Julai 2026. Tajaan tersebut diterima oleh Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad, Pemangku Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Sumbangan kepada Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong berjumlah B$5,000.00 adalah bagi mengendalikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Intan 60 Tahun. Sumbangan diterima oleh Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin, Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Sumbangan kepada Masjid Kampung Mentiri berjumlah B$9,340.00 adalah bagi penggantian karpet masjid. Sumbangan diterima oleh Awang Haji Mohammad Taufiq bin Haji Abdul Rahman, Ketua Imam Masjid Kampung Mentiri.
3. Sumbangan Set Kelengkapan Peralatan Penyempurnaan Jenazah
Dalam usaha menyokong peranan masjid dan memberikan kemudahan kepada masyarakat khususnya dalam urusan hal ehwal kematian, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan kewangan berjumlah B$39,791.00 kepada 67 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara. Sumbangan ini adalah berupa set kelengkapan peralatan penyempurnaan jenazah.
Kesemua sumbangan tersebut diserahkan kepada pegawai hal ehwal masjid di keempat-empat daerah.
Penyampaian sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah disempurnakan oleh Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Timbalan Menteri Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.