Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1444 Hijrah / 2023 Masihi diadakan pada 25 Syaaban 1444 bersamaan 18 Mac 2023, bertempat di Dewan An-Naura, Tingkat 2, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Pelancaran Majlis disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie, Mahkamah Syariah.  Majlis diikuti dengan sembah alu-aluan olehYang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan mengurniakan sabda di majlis ini.

Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan pengagihan buah-buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada wakil-wakil Pasukan Beruniform, Orang Awam, Penjawat Awam (Sektor Kerajaan), Pekerja Swasta dan persatuan-persatuan saudara baru.  Pasukan beruniform diwakili oleh Pemerintah-Pemerintah Tentera serta Komandan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pengarah-Pengarah Jabatan Pasukan Polis Diraja Brunei. Orang awam diwakili oleh Pegawai-Pegawai Daerah serta sebahagian Ketua-ketua Kampung dari keempat-empat Daerah.  Penjawat awam dan pekerja sektor swasta diwakili oleh Pengarah-Pengarah Jabatan Pengurusan, Pentadbiran dan Tenaga Manusia.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie, Mahkamah Syariah.

Dengan sempurnanya Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada hari ini, maka bermulalah pembahagian buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1444 Hijrah / 2023 Masihi kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam. 

Pemerintah-Pemerintah dan Komandan-Komandan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta Pengarah-Pengarah Jabatan dan Pegawai-Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Diraja Brunei akan mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi ini kepada pegawai-pegawai dan kakitangan di bawah jabatan dan unit masing-masing. Pegawai-Pegawai Daerah akan mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi ini kepada semua Penghulu-Penghulu Mukim (yang memangku jawatan Ketua-Ketua Kampung) dan Ketua-Ketua Kampung dan seterusnya akan mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi ini kepada anak-anak buah kampung di bawah jagaan mereka masing-masing. Begitu juga bagi penjawat awam dan pekerja sektor swasta, pengagihan adalah melalui Kementerian, Jabatan dan syarikat masing-masing.

Pada tahun ini, sejumlah 157.5 ton metrik buah kurma jenis ‘Safawy’ akan dibahagikan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di seluruh negara. Setiap umat Islam yang menetap di negara ini tanpa mengira had umur dan taraf kerakyatan akan menerima kurnia buah kurma mereka di mana setiap seorang akan menerima satu kotak kecil kurma yang mengandungi 300 gram.

Pengurniaan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei ini mencerminkan sikap pemedulian dan kasih Baginda.  Adalah wajar bagi seluruh rakyat dan penduduk di negara ini khususnya mereka yang beragama Islam untuk menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kurnia Baginda ini.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sangat-sangat mengharapkan sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak dalam melancarkan urusan pengendalian pengagihan buah kurma kurnia peribadi sepertimana yang diharapkan supaya buah kurma kurnia peribadi ini akan diterima dengan baik dan sempurna dan seterusnya dinikmati oleh setiap orang yang beragama Islam di negara ini sebagai juadah berbuka puasa semasa bulan Ramadhan nanti.

Hadir di Majlis ini ialah Ahli-ahli Jemaah Tadbir serta Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pegawai-Pegawai Daerah, dan Pengarah-Pengarah daripada Kementerian-Kementerian dan Jabatan Kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pengendalian pengagihan buah-buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia.