Kebajikan dan kesejahteraan golongan orang kelainan upaya (OKU) di Negara Brunei Darussalam terus mendapat perhatian daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Bagi menangani kebajikan dan keperluan golongan OKU ini, Yayasan sentiasa memberikan sokongan dan menghulurkan sumbangan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan pihak-pihak berkenaan yang memberikan khidmat pemedulian terhadap keperluan golongan OKU.

Pada 21 Zulkaedah 1440 bersamaan 24 Julai 2019, Yayasan menyampaikan sumbangan kepada dua buah badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan OKU.

1. SMARTER Brunei

Persatuan SMARTER Brunei ialah persatuan bagi sekumpulan ibu-bapa yang mempunyai anak yang memiliki autisma.

Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah BND50,000.00 dan peralatan belajar kepada Persatuan Bagi Pengurusan Autism Dalam Latihan, Pendidikan Dan Sumber (SMARTER) Brunei.

Daripada jumlah sumbangan tersebut, sebanyak 50% disumbangan kepada Persatuan SMARTER Brunei untuk mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik. Manakala sebanyak 50% lagi adalah untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autisme daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Sumbangan peralatan belajar pula adalah bagi kegunaan individu pelajar di Pusat Persatuan SMARTER Brunei.

Yayasan telah mula memberikan sumbangan tahunan sebanyak BND50,000.00 setahun kepada Persatuan SMARTER Brunei dari sejak tahun 2006. Pada tahun 2015, Yayasan juga telah menaja pembinaan lima buah bilik kelas di Pusat SMARTER, Kampong Mata-Mata.

Sumbangan Yayasan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan kepada Yang Mulia Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, Pemangku Yang Di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei.

2. Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam

Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam adalah sebuah badan bukan Kerajaan yang berfungsi menyediakan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum.

Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan sebanyak BND50,000.00 dan dua buah kerusi roda kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam. Sumbangan kewangan tersebut adalah bagi memberi sokongan kepada Pusat ini dalam mengendalikan perkhidmatannya manakala sumbangan kerusi roda adalah bagi keperluan pelajar di Pusat tersebut.

Yayasan telah mula memberikan sumbangan tahunan sebanyak BND50,000.00 setahun kepada Pusat ini sejak tahun 2001.

Sumbangan Yayasan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan kepada Yang Mulia Dato Paduka Haji Alimin bin Haji Abdul Wahab, Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

Sumbangan dan bantuan kepada agensi yang memberi khidmat kepada golongan yang memerlukan ini adalah sebahagian daripada testimoni kepada komitmen Yayasan sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli kerabat baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda di samping membawa kepada pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Aturcara Majlis penyampaian ini juga diteruskan dengan lawatan kerja ke dua-dua Pusat berkenaan. Turut serta semasa Majlis Penyampaian dan lawatan kerja ini ialah Yang Mulia Dr Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bokiah.

Kesemua sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan SELAKU Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.