Syarikat Hamsia & Anak-Anak

Nombor: 888 6450

Menyedari keluarganya perlu berdikari dan tidak mahu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata, Dayang Hamsia bertekad untuk membantu suami dalam menambah pendapatan keluarga. Setelah suami beliau bersara pada tahun 2010, Dayang Hamsia mula mencuba untuk berniaga secara kecil-kecilan. Beliau bermula dengan menjual barang pakaian secara dalam talian sehingga membuka gerai menjual makanan. Namun, usahanya tidak begitu menampakkan hasil. Dayang Hamsia memutuskan untuk bekerja sebagai pembantu kantin di salah sebuah sekolah.

Dengan pengalaman bekerja yang ada dan juga pengalaman dalam mengendalikan perniagaan sebelum ini, Dayang Hamsia mencuba untuk mengusahakan kantin sekolah. Pada tahun 2017, Dayang Hamsia berhasil mendapatkan tempat untuk berniaga di kantin Sekolah Rendah Katimahar. Dengan bantuan dan sokongan suaminya, Dayang Hamsia berjaya mengendalikan perniagaan kantin sekolah dengan baik dan berusaha untuk menambah cawangan kantin di sekolah lain. Tidak terhenti di situ saja, Rezeki Syarikat Dayang Hamsia semakin bertambah setelah berjaya mendapat tawaran bagi mengusahakan kantin sekolah di dua buah sekolah lagi. Bagi mengembangkan perusahaan, Syarikat Dayang Hamsia perlu menyediakan modal yang lebih.

Pada tahun 2019, Dayang Hamsia telah menerima bantuan modal keusahawanan melalui Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi mengembangkan perusahaan kantin sekolah. Bermula dengan sebuah kantin, kini Syarikat Dayang Hamsia & Anak-Anak berjaya mengusahakan empat buah cawangan kantin sekolah. Dayang Hamsia dan suami juga mampu membeli sebuah kereta baru pada tahun 2020 bagi menggantikan kereta lama yang sudah uzur yang sering digunakan sebagai pengangkutan bekalan barang-barang jualan kantin.

Beliau bersyukur dengan taraf kehidupan keluarga yang meningkat dan bertambah baik. Perubahan yang amat ketara ini membuatkan Dayang Hamsia dan suami tidak mengenal erti lelah. Dayang Hamsia menanamkan cita-cita untuk mengembangkan lagi perniagaannya agar suatu hari nanti beliau sekeluarga mampu untuk berdikari sepenuhnya.