Pada 14 Rejab 1440 bersamaan 21 Mac 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Bagi Pembahagian Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1440H / 2019M di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Mesyuarat dihadiri oleh wakil-wakil daripada Jabatan-Jabatan Kerajaan yang terlibat dalam membantu Yayasan mengendalikan pembahagian buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1440H / 2019M iaitu terdiri daripada Pegawai-Pegawai Daerah dan Pegawai-Pegawai dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei serta pegawai-pegawai Yayasan.

Antara agenda yang dibincangkan adalah mengenai sistem pengendalian dan pembahagian buah kurma kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1440H / 2019M dan seterusnya melantik Urus Setia dan Ahli-ahli Jawatankuasa Penyelaras Pembahagian Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi tahun 1440H / 2019M yang akan diselenggarakan oleh Yayasan dengan kerjasama Jabatan-Jabatan Kerajaan yang terlibat.

Bagi memastikan pembahagian buah kurma kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia dikendalikan dengan sempurna, Yayasan telah menyediakan borang khas yang akan diedarkan melalui Ketua-Ketua Kampung di seluruh negara. Yayasan mengharapkan semua Ketua-Ketua Kampung dan mereka yang berkenaan yang telah dipertanggungjawabkan bagi mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ini akan mengikuti tatacara pembahagian yang telah ditetapkan dan menggunakan kebijaksanaan mereka masing-masing supaya buah kurma kurnia peribadi ini akan diterima dengan baik dan sempurna dan seterusnya dinikmati oleh setiap orang yang beragama Islam di negara ini.

Pada tahun ini, sejumlah 126 ton metrik buah kurma jenis ‘Safawy’ yang dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi akan dibahagikan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam dengan tidak menghadkan umur dan taraf kerakyatan (setiap seorang Islam akan menerima satu kotak kecil yang mengandungi 300 gram).

Pembahagian kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada tahun ini akan bermula dengan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1440H / 2019M. Setelah Majlis Pelancaran, buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini seterusnya akan diagih-agihkan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam melalui Ketua-Ketua Kampung dan wakil-wakil yang dilantik.

Pengurusan pembahagian kurma kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini merupakan salah satu projek khas yang dilaksanakan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada setiap tahun.