Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H / 2026M
Pada 15 Syawal 1447 bersamaan 4 April 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli ke majlis ini berserta Kerabat Diraja.
Majlis ini adalah merupakan kali ke-22 dianjurkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sejak majlis ini mula diadakan pada tahun 2003. Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza setiap tahun dalam memberikan kesempatan kepada mereka untuk bersua muka dan beramah mesra dengan raja yang sangat dikasihi dan menyembahkan junjung kasih Kehadapan Majlis Baginda dalam suasana yang lebih mesra dan meriah. Para peserta yang diketengahkan pada setiap tahun adalah terdiri daripada kumpulan masyarakat yang dikenalpasti dapat memberikan kepentingan dalam menjana kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan kepada ugama, raja, bangsa dan negara.
Dengan limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, majlis tahun ini bertemakan “Inovasi A.I.: Pemangkin Pembangunan Masyarakat”. Tema ini mencerminkan peranan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama dalam memperkukuh pembangunan sosial, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Tema ini juga mendukung inisiatif dan usaha Kerajaan dalam memperkukuh pendekatan strategik ‘Whole of Nation’, iaitu melalui penglibatan aktif semua pihak berkepentingan dalam mengadaptasi inovasi serta teknologi digital dalam menyokong hasrat negara ke arah merealisasikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Pintar ‘Smart Nation’, sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Bersesuaian dengan tema sambutan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mendapat kerjasama padu daripada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (Authority for Infocommunications Technology Industry of Brunei Darussalam – AITI) sebagai penggerak dasar dan strategi AI di negara ini untuk bersama-sama menyelaraskan penganjuran Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Dalam mendukung tema tersebut, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengetengahkan beberapa kumpulan peserta yang memainkan peranan penting dalam menyemarakkan budaya inovasi, memperluas pengetahuan mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI), serta menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam memanfaatkan perkembangan digital secara positif dan berkesan. Penyertaan ini melibatkan para pegawai daripada agensi kerajaan dan sektor swasta, para pengusaha dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI), sektor perbankan, para pendidik dan pelajar, golongan belia serta ketua-ketua komuniti akar umbi, yang masing-masing menyumbang idea, kreativiti dan komitmen ke arah membentuk masyarakat yang celik teknologi, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
Setiap kumpulan peserta memainkan peranan penting dalam pembangunan dan penggunaan AI terhadap masyarakat. Sektor kerajaan berperanan sebagai pembuat dasar dalam memastikan penggunaan AI dilaksanakan secara terkawal, teratur dan selaras dengan kepentingan awam. Sektor swasta dan para pengusaha dalam bidang teknologi AI pula merupakan pemudah cara utama dalam menyokong perkembangan serta mempercepatkan pengadaptasian AI melalui penerokaan peluang baharu, pembangunan penyelesaian inovatif dan penggunaan teknologi dalam pelbagai bidang. Para pelajar dan golongan belia pula merupakan generasi inovator yang berpotensi besar dalam mencorakkan landskap teknologi masa depan negara. Sementara itu, para pendidik dan ketua komuniti akar umbi memainkan peranan penting dalam menerapkan pengetahuan, membimbing kefahaman dan memastikan penggunaan AI dilaksanakan secara bijaksana, beretika dan betul.
Komitmen dan peranan kesemua kumpulan peserta ini setentunya dapat memberikan impak positif terhadap pembangunan ekosistem teknologi kecerdasan buatan (AI) yang inklusif, progresif dan beretika, di samping memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat dalam memanfaatkan kemajuan digital secara bertanggungjawab demi kemajuan negara.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Acara kemuncak majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
Atur cara majlis diteruskan dengan tayangan video bertajuk “Inovasi A.I.: Pemangkin Pembangunan Masyarakat” yang memperlihatkan usaha bersepadu negara dalam mendepani era transformasi digital yang semakin pesat dengan memperkukuh transformasi digital melalui inovasi, tadbir urus AI yang beretika, dan pembangunan infrastruktur digital yang inklusif sejajar dengan pendekatan senegara yang mantap ‘Whole of Nation’ bagi mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Majlis diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, melibatkan seramai 140 orang pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak, murid-murid Sekolah Rendah dan penuntut-penuntut Sekolah Menengah dengan pimpinan tenaga pengajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Bersesuaian dengan tema dan kategori peserta yang diketengahkan dalam sambutan pada tahun ini, sebanyak 22 buah agensi daripada sektor kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, institusi perbankan, dan syarikat industri dan teknologi dari dalam dan luar negara telah dijemput untuk menyertai pameran. Pameran memperlihatkan peranan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu transformasi negara yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan masyarakat, daripada keselamatan digital, kesejahteraan rakyat, pembangunan pendidikan dan modal insan, sehinggalah kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inovatif dan inklusif. Pameran tersebut juga memberi gambaran menyeluruh tentang bagaimana teknologi AI sedang digunakan dan berpotensi dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, memperkukuh keselamatan, menyokong pembangunan industri serta memperkasa masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga telah mendapat sokongan daripada Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam yang telah mendatangkan secara eksklusif sebanyak beberapa buah robot humanoid untuk mengadakan beberapa persembahan yang bertepatan dengan tema majlis pada tahun ini. Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga sukacita merakamkan penghargaan kepada beberapa agensi iaitu Imagine Sendirian Berhad, Muara Port Company Sendirian Berhad, Hengyi Industries Sendirian Berhad, Bank Islam Brunei Darussalam Berhad, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Berhad, Maju Motors Sendirian Berhad dan Mulia Hotel Brunei yang telah memberikan kerjasama kepada Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dalam mendatangkan robot humanoid tersebut.
Kehadiran robot humanoid tersebut dihasratkan dapat mencetuskan rasa ingin tahu dan memberi inspirasi kepada generasi muda khususnya para pelajar dan belia untuk mendalami bidang sains, teknologi, kejuruteraan, kesenian dan matematik (Science, Technology, Engineering, Arts and Mathematics, STEAM) serta seterusnya menyemai minat mereka terhadap penyelidikan, kreativiti dan pembangunan bakat tempatan dalam bidang teknologi.
Pameran ini juga dibukakan bagi kunjungan orang ramai selama sehari iaitu pada 15 Syawal 1447 bersamaan 4 April 2026, sehingga pukul 4.30 petang. Perisian pameran dihasratkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan teknologi AI dan transformasi digital, memberi pendedahan kepada generasi muda tentang peluang pembelajaran dan kerjaya dalam bidang teknologi masa hadapan, dan menggalakkan budaya inovasi dan seterusnya pendedahan bagi memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, selamat dan beretika demi kesejahteraan bersama.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir. Di samping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta para jemputan khas.