Pada 8 Syawal 1443 bersamaan 19 Mei 2022, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat bercemar duli ke majlis ini berserta Kerabat Diraja. Majlis ini adalah merupakan kali ke-18 (lapan belas) dianjurkan sejak ia telah mula diadakan pada tahun 2003.  Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza setiap tahun dalam memberikan kesempatan kepada mereka menyembahkan junjung kasih dalam suasana yang lebih mesra dan meriah.  Mereka ini terdiri daripada kumpulan masyarakat yang dikenalpasti dapat memberikan kepentingan dalam menjana kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan kepada ugama, bangsa dan negara.  Untuk majlis tahun ini, dengan limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan dengan bertemakan “MEMPERKASA KECERDASAN BELIA MAMPAN”, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memfokuskan golongan belia sebagai peserta.  Golongan belia yang ditampilkan pada Majlis ini terdiri daripada warga belia negara yang telah memberikan sumbangan secara langsung mahupun tidak langsung dalam program keugamaan, kemasyarakatan, keusahawanan dan seni kreatif.  Manakala sebahagian lagi terdiri daripada para belia dan pelajar yang berpotensi untuk memberikan sumbangan terhadap pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat.  Mereka ini diharapkan akan memberikan inspirasi kepada semua golongan belia untuk mempersiapkan diri membentuk paradigma masyarakat yang pintar dan inovatif.

Tema “MEMPERKASA KECERDASAN BELIA MAMPAN” adalah selaras dengan salah satu objektif utama yang terkandung dalam akta penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu “mempertingkatkan penglibatan belia dalam pembangunan masyarakat”.  Tema ini menitikberatkan keperluan para belia masa kini untuk memperkasa kecerdasan agar sentiasa siap siaga memikul tanggungjawab dan menempuhi cabaran negara dan global secara positif, berdaya tahan dan berdaya maju.  Aspek kecerdasan bukan hanya tertumpu kepada kecerdasan ilmu pengetahuan, kemahiran dan inovasi, malah kecerdasan dari aspek kerohanian (spiritual), intelektual (intellectual) dan emosi (emotional) juga perlu ditanamkan dalam setiap individu belia agar mereka menjadi warga belia negara mempunyai semangat jati diri, ketahanan diri fizikal dan mental, berjiwa patriotik, berdisiplin serta mempunyai nilai-nilai murni dan akhlak mulia sebagai anak Brunei yang mendukung konsep Melayu Islam Beraja.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.  Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Acara kemuncak majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Aturcara majlis diteruskan dengan tayangan video bertajuk “MEMPERKASA KECERDASAN BELIA MAMPAN” yang antara lain memaparkan penglibatan aktif serta pencapaian-pencapaian yang telah diraih oleh para belia negara dengan dukungan penuh dan berterusan daripada pihak Kerajaan, agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) dengan pendekatan senegara yang mantap (Whole of Nation Approach) dalam melahirkan para belia bakal penerus pemimpin masa depan yang mempunyai nilai-nilai murni dan berakhlak mulia, berkeyakinan, bertanggungjawab, dinamik, kreatif dan berinovatif bagi mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Majlis diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak, murid-murid Sekolah Rendah dan penuntut-penuntut Sekolah Menengah) dan pelajar Sekolah Rendah Bengkurong dengan pimpinan Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.  Acara persembahan turut diserikan dengan persembahan silat daripada pasukan pencak silat negara yang merangkul pingat perak dan gangsa pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini. Bersesuaian dengan tema dan konsep sambutan pada tahun ini, pameran mengenai usaha-usaha, inisiatif-inisiatif dan komitmen semua Kementerian, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) dan individu dalam memperkasa kecerdasan belia mampan.  Tiga aspek kecerdasan yang diketengahkan dalam pameran ini iaitu kecerdasan dari aspek kerohanian (spiritual), intelektual (intellectual) dan emosi (emotional) yang berkait rapat dan perlu ditanamkan dalam setiap belia secara seimbang agar para belia lebih bersedia berhadapan dengan cabaran yang semakin kompleks dan tidak pasti.  Beberapa agensi yang terlibat dalam pameran ini adalah beberapa buah Jabatan dan Institusi Pengajian di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama yang memaparkan kegiatan belia dalam bidang kerohanian; dan beberapa Jabatan dan Institusi Pengajian serta NGOs yang menganjurkan program bimbingan dan kaunseling termasuk Talian Harapan dan Pusat Promosi Kesihatan. Turut dipamerkan adalah hasil prototaip daripada pelajar institusi pengajian yang telah memenangi beberapa anugerah dari dalam dan luar negara.  Mini galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah jua turut dipersembahkan dalam pameran yang mana penubuhan pusat tersebut turut mendukung penuh tema sambutan pada tahun ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam seterusnya berkenan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir.  Di samping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi,  majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.  Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, sebahagian Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi ke Negara Brunei Darussalam,   Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta para jemputan khas.