Bersempena bulan Ramadan yang mubarak ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 9 Ramadan 1440 bersamaan 15 Mei 2019 mengadakan majlis bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit bertempat di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Negara Brunei Darussalam. Majlis ini adalah salah satu daripada aktiviti tahunan Yayasan di bulan Ramadan.

Berangkat di majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.

Bacaan yasin dan tahlil diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie, Mahkamah Syariah.

Menjunjung keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan; dan Yang Mulia Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Pengarah Urusan Yayasan.

Juga hadir di majlis ini ialah Ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan; guru-guru Sekolah Yayasan serta penduduk-penduduk Skim Perumahan Yayasan Kampong Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’.