Selaras dengan hasrat murni penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik, termasuk mereka yang ditimpa musibah seperti kebakaran rumah. Sumbangan yang disampaikan ini merupakan bantuan segera yang dihasratkan dapat meringankan beban mangsa serta membantu mereka meneruskan kehidupan seharian.

Pada 17 Zulhijah 1447 bersamaan 4 Jun 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah B$30,800.00 kepada lima buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di beberapa buah kampung. Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Ibu Pejabat, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Salah seorang penerima iaitu Awang Haji Mohammad Anwarri bin Abdullah, bukan sahaja menerima bantuan kebakaran, malah turut menerima sumbangan pengurusan jenazah Allahyarhamah ibunda beliau yang terkorban dalam kejadian kebakaran tersebut. Dalam kesempatan ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah turut merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga Allahyarhamah serta mendoakan agar mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan tersebut.

Penyampaian sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah disempurnakan oleh Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Timbalan Menteri Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.