Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi Sesi Pengajian 2023/2024 telah diadakan pada 30 Safar 1445 bersamaan 16 September 2023 bertempat di Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini. 

Turut berkenan berangkat ke majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pada tahun ini, seramai empat orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2023/2024. Mereka ialah:

  • Dayang Alya’ Nuha binti Haji Hayattuddin adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Lughah Arabiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
  • Awang Ahmad Syahmi bin Haji Mohamad Rozaini adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
  • Dayang Chloe Cheok Lu Yi adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Microbiology di Imperial College London, United Kingdom.
  • Dayang Siti Ain Nursyuhaidah binti Mohammad Sahirin adalah lepasan penuntut Pusat Tingkatan Enam Sengkurong dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Data Science di University of Melbourne, Australia.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan penyampaian anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2023/2024 kepada keempat-empat orang penerima.

Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan beramah mesra dengan penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar”.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bergambar ramai bersama penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar”.

Turut hadir di majlis ini ialah Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah;  dan sebahagian Pengetua-Pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.