Selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mempertingkatkan syiar Islam di negara ini, pada 18 Safar 1441 bersamaan 17 Oktober 2019, Yayasan menyampaikan sumbangan kepada beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Sebanyak 51 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1441H/2019M. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 buah masjid, surau dan balai ibadat adalah daripada Daerah Brunei dan Muara; 19 buah di Daerah Tutong; 4 buah di Daerah Belait dan 9 buah di Daerah Temburong. Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.

Jumlah sumbangan kewangan diberikan keseluruhannya ialah sebanyak BND63,200.

Sumbangan-sumbangan pada petang ini disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.