Pada 10 Zulkaedah 1444 bersamaan 30 Mei 2023, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan beberapa sumbangan keseluruhannya berjumlah BND123,000.00 seperti berikut:

1.  Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria pada 14 Februari 2023. Penubuhan Tabung Kemanusiaan ini bertujuan untuk mengumpulkan derma berbentuk kewangan sahaja daripada semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang telah dilanda bencana gempa bumi pada 6 Februari 2023 lalu.

Atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan dalam membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa gempa bumi, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah turut sama menyokong penubuhan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria dan menghulurkan sumbangan berjumlah BND100,000.00.

Sumbangan diterima oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang juga selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria.

2.  Brunei Young Leaders Convention 2023

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menggariskan usaha mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat pada salah satu tujuan utama penubuhannya. Bagi tujuan ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah BND15,000.00 kepada Brunei Young Leaders Convention 2023 (Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2023) bagi menaja sebahagian perbelanjaan untuk mengadakan konvensyen tersebut pada 12-14 Jun 2023.

Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Awang Iswandy bin Ahmad, Pengerusi Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2023.

3.  Mangsa Kebakaran

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari semasa ke semasa memberikan pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah seperti kebakaran rumah dan rumah roboh.  Bantuan ini dilaksanakan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah BND8,000.00 kepada dua buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di beberapa buah kampung di Negara Brunei Darussalam.  Mereka yang terlibat ialah Awang Muhammad Hazman bin Abdul Nasir, Kampong Sungai Besar dan Dayang Hajah Siti Khadijah binti Haji Ibrahim, Kampong Telanai.

Kesemua sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua SELAKU Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan SELAKU Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.