Majlis Penganugerahan Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi Sesi Pengajian 2022/2023 telah diadakan pada 11 Safar 1444 bersamaan 8 September 2022 bertempat di Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini. 

Turut berkenan berangkat ke majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pada tahun ini, seramai sembilan orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2022/2023.

Daripada jumlah tersebut, seramai tujuh orang penuntut menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi peringkat Sarjana Muda:

  • Awangku Muhammad ‘Ashim ‘Afiif bin Pengiran Haji Md Zin adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
  • Awang ‘Abdul Majid bin Haji Shazli adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
  • Dayang Nur Iwana Athilah binti Haji Mahri adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Lughah Arabiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
  • Dayang Patricia Sim Xiang Ru adalah lepasan penuntut Jerudong International School dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan ‘MedicineSurgery and Obstetrics’ di Trinity College Dublin, Ireland.
  • Dayang Lim Jia Yi adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Mechanical Engineering di University College London, United Kingdom.
  • Awang Haji Mohammad Wajdi bin Haji Mohammad Ja’afar adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Civil Engineering di University of Edinburgh, United Kingdom.
  • Dayang Elmeeza Bazillah binti Abdullah Mohammad Yasrinal Eddy Abdullah adalah lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Mechanical Engineering di University College London, United Kingdom.

Manakala seramai dua orang penuntut lagi menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi meningkatkan tahap pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana:

  • Awang Muhammad Fikri bin Haji Ali adalah lepasan graduan University of Southampton, United Kingdom dan telah lulus dengan memperolehi Kepujian Kelas Pertama (First Class with Honours) dalam jurusan MORSE (Mathematics, Operational Research, Statistics and Economics). Melalui biasiswa “Sultan’s Scholar”, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Operational Research with Data Science di University of Edinburgh, United Kingdom.
  • Dayang Nurhidayah Binti Abdul Hamid adalah lepasan graduan Universiti Brunei Darussalam dan telah lulus dengan memperolehi Kepujian Kelas Pertama (First Class with Honours) dalam jurusan Sosiologi dan Antropologi. Melalui biasiswa “Sultan’s Scholar”, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Psychology of Mental Health di University of Edinburgh, United Kingdom.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan penyampaian anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2022/2023 kepada kesembilan orang penerima.

Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan beramah mesra dengan penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar”.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bergambar ramai bersama penerima-penerima anugerah biasiswa Sultan’s Scholar.

Turut hadir di Majlis ini ialah Ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan sebahagian Pengetua-Pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.