Pada 20 Zulhijjah 1440 bersamaan 21 Ogos 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama-sama Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Jabatan Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah menyerahkan rumah bantuan kepada Michael Anak Thomas (anak mendiang Lasabit binti Agong yang telah meninggal dunia pada tahun 2017). Rumah bantuan ini didirikan di atas tapak tanah kekal milik mendiang Lasabit.

Hadir menyampaikan anak kunci rumah bantuan yang dibiayai oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Jabatan Pembangunan Masyarakat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan sebahagian daripada kos pembinaan rumah yang menelan belanja sebanyak BND55,000.00 dan sebahagiannya lagi adalah daripada peruntukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Semasa majlis ini juga, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan berupa peralatan perabot rumah.

Pemberian rumah bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan secara bersepadu dengan agensi-agensi yang terlibat bertujuan bagi melahirkan semangat kerjasama secara kolektif membantu mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk di negara ini iaitu selaras dengan tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir di majlis ini ialah Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong.