Majlis Penandatanganan Perjanjian Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sesi Pengajian Tahun 2026/2027
Pada hari Khamis, 21 Rabiulawal 1448 bersamaan 3 September 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Penandatanganan Perjanjian Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2026/2027 bertempat di Dewan An-Naura, Tingkat 2, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis Penandatanganan Perjanjian bagi penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah 2026/2027 yang juga telah berlangsung pada hari ini di Istana Nurul Iman.
Seramai lima orang penuntut yang berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2026/2027 hadir menandatangani perjanjian di majlis ini. Mereka ialah:
- Dayangku Nurul Fadhlina Natasya binti Pengiran Haji Shahril Azman, lepasan Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah Islamiyyah (BA Syariah Islamiyyah) di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
- Dayang Lee Jing Jing, lepasan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Pergigian (Bachelor of Dental Science) di Trinity College Dublin, Republik Ireland.
- Syed Abd Rahman bin Syed Azmal, lepasan Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Bachelor of Engineering (Electrical Engineering) di University of New South Wales, Sydney, Australia.
- Dayang Syasya Amalyna binti Haji Mohamad Saiful Bahrin, lepasan Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (Medicine MBChB) di University of Dundee, Scotland, United Kingdom.
- Dayang Farah Alyah binti Abdul Rahman, lepasan Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah (BSc Urban Planning and Real Estate) di University College London, United Kingdom.
Sementara itu, seorang penerima anugerah Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2022/2023, Awang Haji Mohammad Wajdi bin Mohammad Ja’afar, yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana, turut hadir bagi menandatangani perjanjian pada majlis berkenaan. Beliau telah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Bachelor of Engineering in Civil Engineering) di Universiti Edinburgh, United Kingdom, dan seterusnya akan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Struktur Am (Master of Science in General Structural Engineering) di Imperial College London, United Kingdom.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Haji Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain, Pegawai Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan yang juga Alumni “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Acara majlis diteruskan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi kelima-lima orang penerima biasiswa yang ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat. Penandatanganan perjanjian bagi pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dilakukan oleh Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Timbalan Menteri Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama dengan Yang Mulia Mejar (B) Awang Sopian bin Haji Mohammad Yassin, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis pada petang ini diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengajian masing-masing.
Turut hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; alumni “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan sebahagian Pengetua-Pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.
Sejajar dengan salah satu matlamat utama Wawasan Brunei 2035 iaitu bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah program pembangunan kapasiti manusia yang bertujuan bagi melahirkan generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, bangsa, raja dan negara serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.