Pada 10 Jamadilawal 1448 bersamaan 21 Oktober 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah B$147,861.00. Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Kesemua sumbangan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Timbalan Menteri Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

1.  Sumbangan Tajaan bagi Pembangunan Belia

Dalam usaha mendukung pembangunan belia, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah turut memberikan sokongan dan menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti pembangunan diri dan kepimpinan. 

Sehubungan itu, Yayasan menyampaikan sumbangan tajaan keseluruhannya berjumlah B$11,300.00 kepada tiga pihak bagi mendukung pelaksanaan program dan inisiatif dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan belia.

Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama menerima tajaan bagi pencetakan 100 naskhah buku sempena Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal. Penerbitan buku berkenaan merupakan tanda kesyukuran atas perkembangan dan pencapaian pendidikan ugama formal sepanjang tujuh dekad, di samping menghargai jasa para pendidik, pemimpin serta pihak-pihak yang telah menyumbang kepada pemerkasaannya. Sumbangan tersebut diterima oleh Awang Haji Mohammad Ahsanul Azmi bin Haji Sarbini, Pemangku Penolong Pengarah (Institut Pengajian), Jabatan Pengajian Islam.

Sementara itu, Pusat Keusahawanan Inovasi, Kementerian Pendidikan menerima tajaan hadiah bagi Pertandingan Celik-Biz Kali Ke-8 yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan Pertandingan Big Start Kali Ke-13 bagi pelajar sekolah menengah. Tajaan ini bertujuan memupuk minat dan kemahiran keusahawanan serta menyemai budaya inovasi dalam kalangan pelajar. Kedua-dua pertandingan berkenaan turut memberikan peluang kepada para pelajar untuk mengembangkan kreativiti, meneroka idea baharu dan mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Sumbangan tersebut diterima oleh Dayangku Dianawati binti Pengiran Haji Patra, Pegawai Pendidikan, Pusat Keusahawanan Inovasi, Kementerian Pendidikan.

Dalam pada itu, Ar-Razaq Kifayah Management menerima tajaan bagi penganjuran Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2026 yang menghimpunkan golongan belia dan pemimpin muda bersama pihak berkepentingan daripada sektor kerajaan, swasta serta masyarakat. Konvensyen ini menjadi platform untuk para peserta membincangkan peluang dan cabaran pembangunan negara, di samping menggalakkan percambahan idea yang dapat diterjemahkan kepada pelbagai inisiatif, program dan kerjasama demi manfaat masyarakat. Sumbangan tersebut diterima oleh Pengiran Fatin Nur’masayuni Safwana binti Pengiran Roslan, Pengerusi Konvensyen Pemimpin Muda Brunei.

Melalui sumbangan tajaan ini, Yayasan berharap agar program dan inisiatif yang didukung dapat memberikan manfaat berterusan dalam melahirkan generasi belia yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing dan berkepimpinan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.

2.  Bantuan Modal Keusahawanan

Ke arah mencapai salah satu matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Mendukung Pencapaian Taraf Sara Diri, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah turut mendukung usaha Kerajaan membantu meningkatkan tahap sara diri golongan yang memerlukan bantuan melalui program keusahawanan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan.

Skim Pembiayaan Kebajikan merupakan bantuan pengupayaan diri khusus bagi golongan sasar yang memerlukan iaitu berupa pemberian bantuan modal bagi menjalankan perusahaan berserta beberapa program dan kursus kemahiran yang bersesuaian.  Bentuk bantuan modal yang diberikan adalah mengikut kriteria dan kesesuaian pemohon seperti kewangan, material, latihan dan pemantauan.

Seramai 19 orang bakal “Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah” menerima bantuan modal keusahawanan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan keseluruhannya berjumlah B$36,600.00 bagi membolehkan mereka menjalankan serta mengembangkan perusahaan yang telah dirancang.

Antara penerima bantuan ialah Muhammad Faiz bin Metali daripada Syarikat Wiiiq.G yang menjalankan perkhidmatan pembersihan kawasan; Abdul Qawi bin Muhammad Fadhli daripada Q’alanna Enterprise yang mengusahakan perniagaan makanan dan minuman; Saharin bin Mohammad daripada Syarikat Sarifudin dalam bidang pertukangan kayu; serta Abdul Qahar bin Kamalludin daripada Artispark Group yang menjalankan perkhidmatan gunting rambut.

Turut menerima bantuan ialah Zulhilmi bin Tahir daripada Arrazzaq Insyirah Berjaya Enterprise; Nur Misuari bin Sunadi daripada Nirawie dan Anak-Anak; Rohani binti Awang Ali daripada Syarikat Leeman Berjaya; Siti Suraiya binti Arsat daripada Syarikat Ctzan dan Anak-Anak; Masniah binti Hamdan daripada Syarikat Masloni Mini Enterprise; Suria binti Haji Basir daripada Ariesya Cook and Bake; Siti Nafeah binti Rudiwan daripada Double Jj Rizqi; serta Mahal binti Dullah daripada Syarikat Mahal dan Anak-Anak. Kesemua penerima berkenaan menjalankan perusahaan dalam bidang makanan dan minuman, masakan, kuih-muih serta jualan buah-buahan.

Sementara itu, Kartini binti Haji Karim daripada Canary Couture menerima bantuan bagi perusahaan pakaian, manakala Noor Syazwani binti Haji Majin daripada Kayns Enterprise menjalankan perniagaan pencetakan dan reka bentuk digital. Penerima lain ialah Norhidayah binti Haji Osman daripada A&A Enterprise, Siti Normanjalina Wati binti Abdul Rahman, Zaitun binti Haji Ahal, Jamaliah binti Haji Lawal serta Minah binti Linong yang mengusahakan perniagaan makanan dan minuman serta jualan pakaian terpakai (bundle).

Sebelum dipertimbangkan untuk menerima modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan, pada peserta diwajibkan untuk menjalani beberapa program latihan iaitu Program Asas Bakarih yang dirangka khas bagi memberikan kemahiran serta pengetahuan keusahawanan yang dikendalikan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan kerjasama rakan strategik LiveWIRE Brunei.

Sejak Skim Pembiayaan Kebajikan mula dilaksanakan pada tahun 2015, seramai 174 orang Usahawan Bekarih telah berjaya dilahirkan. Melalui bantuan modal, latihan dan pemantauan, mereka telah berjaya mengusahakan beberapa jenis perusahaan seperti makanan dan minuman, pertanian, perkhidmatan cuci kereta dan bengkel kereta; pembuatan perabot dan kraf tangan dan sebagainya. 

3.  Bantuan Membaik Balai Ibadah

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menyalurkan sumbangan kewangan berjumlah B$4,200.00 bagi membantu membaik pulih (pembinaan struktur tiang konkrit baharu) dewan Balai Ibadat Mukim Saba, susulan kerosakan pada tiang sedia ada yang menimbulkan risiko keselamatan kepada para jemaah.  Sumbangan bertujuan untuk membantu memperkukuh struktur bangunan bagi memastikan balai ibadat berkenaan terus dapat digunakan dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa untuk keperluan para jemaah serta masyarakat setempat.

Sumbangan diterima oleh Awang Sahrin bin Matnor, Imam Balai Ibadat Mukim Saba.

4.  Bantuan Membaik Pulih Rumah

Antara tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat adalah memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan termasuk tempat tinggal yang sempurna dan selamat.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah semasa majlis ini juga menyampaikan bantuan bagi tujuan membaik pulih rumah Pengiran Mohd Saiffol Noorfaissal bin Pengiran Md Salleh di Kampung Setia ‘A’ berjumlah B$24,611.00.

5.  Sumbangan Kewangan bagi Meneruskan Pengajian ke Peringkat Tinggi

Dalam bidang pendidikan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyalurkan sumbangan berjumlah B$38,100.00 kepada tiga orang penuntut bagi membantu mereka meneruskan pengajian ke peringkat tinggi.

Senarai penerima bantuan kewangan bagi meneruskan pengajian ke peringkat tinggi adalah seperti berikut:

  1. Awang Muhammad Abdul Qaiyum bin Haji Rabaee
  2. Dayang Nursya’adatul Sya’afiiah binti Haji Ramili
  3. Dayang Mas Zuryani binti Muhammad Ruzaini Tang

Bantuan berbentuk elaun sara hidup bulanan ini dikhususkan kepada penuntut persendirian yang berkelayakan dan tidak menerima pembiayaan atau biasiswa daripada kerajaan, pihak swasta atau badan-badan lain, bagi pengajian di universiti dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh kerajaan di dalam negara.

6.  Bantuan kepada Mangsa Kebakaran

Selaras dengan dasar penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah B$33,050.00 kepada lapan buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di beberapa buah kampung di seluruh negara. Sumbangan ini dihasratkan dapat meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan seharian.

Mereka yang terlibat ialah:

  1. Awang Harun bin Ibrahim, Kampung Panchor Dulit
  2. Awang Haji Matzain bin Haji Menudin, Kampung Sinarubai
  3. Awang Zufri bin Mohd Jair, Kampung Lurong Dalam
  4. Awang Junadi bin Haji Jaluddin, Kampung Pengkalan Mau
  5. Awang Muhammad Kamarularifin bin Haji Mohd Salleh, Kampung Burong Pingai Ayer
  6. Pengiran Hajah Patimah binti Pengiran Haji Tengah, Kampung Delima Satu
  7. Dayang Hajah Hajijah binti Haji Abdul Hamid, Kampung Rataie
  8. Dayang Sarimah binti Musa, Kampung Piasau-Piasau