Pada 28 Safar 1446 bersamaan 2 September 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Penandatanganan  Perjanjian Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2024/2025 bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan. 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis Penandatanganan Perjanjian bagi penerima anugerah biasiswa Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah 2024/2025 yang juga telah berlangsung pada hari ini di Istana Nurul Iman.

Seramai lima orang penuntut yang berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2024/2025 hadir menandatangani perjanjian di majlis ini.  Mereka ialah:

  • Dayang Nur Hidayah Haziyah binti Handrie adalah lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Jerudong dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Environmental Geoscience di University College, London.
  • Awang Muhammad Asfa Radhi bin Mohammad Yusran adalah lepasan penuntut Pusat Tingkatan Enam Tutong dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Engineering (Honours) (Chemical Engineering) di University of New South Wales Sydney, Australia.
  • Awang Muhammad Nafeez bin Haji Arbaie adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Data Science and Decisions di University of New South Wales Sydney, Australia.
  • Awang Muhammad Afiq bin Abdul Rahman adalah lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Jerudong dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Mathematics di University College London, United Kingdom.
  • Awangku Mohammad Idris Fadhlee bin Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Haji Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain, Pegawai Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan yang juga Alumni “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara majlis diteruskan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi kelima-lima orang penerima biasiswa yang ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat.  Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama dengan Yang Mulia Awang Haji Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis pada petang ini diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengajian masing-masing.

Turut hadir di majlis ini ialah Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah;  alumni “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan sebahagian Pengetua-Pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.

Sejajar dengan salah satu matlamat utama Wawasan Brunei 2035 iaitu bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah program pembangunan kapasiti manusia yang bertujuan bagi melahirkan generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, bangsa, raja dan negara serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.