Sepertimana kelaziman, majlis-majlis keagamaan diadakan sempena bulan Ramadan iaitu bagi menyemarakkan lagi bulan yang penuh keberkatan ini.

Pada 21 Ramadan 1440 bersamaan 27 Mei 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Sempena Bulan Ramadan 1440H/2019M anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Berangkat ke majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan takhtim Al-Quran oleh pembaca-pembaca terdiri dari 30 orang pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Bacaan takhtim Al-Quran dipimpin oleh Awang Muhammad Syazwanshah bin Razali, Guru Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis diteruskan dengan Doa Khatam dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Majlis selanjutnya diteruskan lagi dengan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah.

Menjunjung keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; dan Yang Mulia Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Pengarah Urusan Yayasan.

Juga hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.