Salah satu tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang kebajikan ialah memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi kepada golongan yang memerlukan bantuan seperti bantuan perumahan.

Pada 24 Rabiulawal 1441 bersamaan 21 November 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan, Bandar Seri Begawan.

Bagi kontrak perjanjian ini, Yayasan akan membina 21 buah rumah bantuan dengan konsep dan rekabentuk baharu di Daerah Tutong dan Daerah Brunei Muara yang dikontrakkan kepada Syarikat Noracon Sdn Bhd. Konsep dan rekabentuk baharu bagi pembinaan rumah bantuan Yayasan adalah lebih moden dan setara dengan teknologi semasa dalam keperluan pembangunan rumah kos rendah yang juga dapat disiapkan sepenuhnya dalam jangkamasa pendek. Projek pembinaan rumah bantuan ini seterusnya akan dilaksanakan ke Daerah Belait dan Daerah Temburong secara berperingkat.

Projek bantuan perumahan di bawah Skim Perumahan Yayasan dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan dan keadaan tempat tinggal mereka daif dan tidak selamat untuk didiami. Bantuan ini juga dihasratkan bagi memberikan mereka peluang untuk memperbaiki taraf hidup keluarga dalam semua aspek kehidupan.

Dari mula projek bantuan perumahan dilaksanakan oleh Yayasan pada tahun 1996 sehingga kini, sebanyak 161 buah rumah telah dibina di seluruh negara bagi memberikan harapan baru kepada 161 buah keluarga untuk meneruskan kehidupan harian mereka dalam persekitaran rumah yang selesa dan selamat.

Majlis Menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Hj Abd Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Atur cara diteruskan dengan menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Skim Bantuan Perumahan Yayasan antara Yayasan dan Syarikat Norcaon Sdn Bhd. Menandatangani bagi pihak Yayasan ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan.

Turut hadir di majlis ini Ahli-Ahli Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.