Bersempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-30 Tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan majlis bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim pada 16 Rabiulawal 1444 bersamaan 12 Oktober 2022 bertempat di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Negara Brunei Darussalam.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan selaku Timbalan Pengerusi II Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang  Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Semasa majlis ini, bacaan Surah Yasin dan bertahlil diketuai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak menaiki Takhta.  Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Ahli Kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebelum ini telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-30 Tahun bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 9 Rabiulawal 1444 bersamaan 5 Oktober 2022.

Juga hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; ahli-ahli Alumni “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta penduduk-penduduk Rancangan Perumahan Kampong Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’.