Bertunjangkan dasar utama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi memeduli kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya golongan yang kurang berkemampuan, pada 8 Rabiulakhir 1441 bersamaan 5 Disember 2019, Yayasan menyampaikan sumbangan bantuan peralatan dan keperluan persekolahan kepada seramai 1,336 orang pelajar (813 orang pelajar Sekolah Rendah dan 523 orang pelajar Sekolah Menengah) dari sebanyak 493 buah keluarga yang kurang berkemampuan di seluruh negara iaitu bagi sesi persekolahan tahun 2020.

Sumbangan adalah dalam bentuk kupon pembelian peralatan dan keperluan persekolahan. Setiap seorang pelajar menerima kupon yang bernilai BND250.

Penyampaian sumbangan ini adalah bertepatan dengan matlamat strategik Yayasan dalam mendokong pencapaian pendidikan yang berkualiti dan saksama bagi semua lapisan masyarakat. Sumbangan tersebut dihasratkan bagi memeduli kebajikan dan hal-ehwal pendidikan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi meningkatkan motivasi mereka untuk meraih kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Di samping itu, sumbangan tersebut dihasratkan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka khususnya bagi persediaan penggal awal persekolahan tahun 2020.

Sumbangan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada para ibu-bapa dan penjaga pelajar-pelajar berkenaan.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.